Malaysia Dateline

Menjelang Konvensyen Nasional AMANAH: Peluang perwakilan bebas kritik secara beradab

Perwakilan Parti Amanah Negara (AMANAH) bebas untuk membangkitkan sebarang usul sempena konvensyen peringkat nasional yang bermula, 6 Disember depan.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyifatkan AMANAH adalah sebuah parti yang telus dan perwakilan boleh mengkritik sebarang isu.

“Mereka boleh mengkritik sebarang isu. Selagi kritikan itu ada adab-adabnya, kita akan membuka ruang seluas-luasnya untuk mereka mengutarakan pandangan mereka.

“Kita tidak ada buat apa-apa tapisan. Kalau ada pun, daripada segi usul kita melihat dalam konteks kata-kata (wording), tetapi nak kata sekat itu, tidaklah.

“Selain itu, dalam konvensyen kali ini, saya turut menjangkakan ada kritikan terhadap barisan kepimpinan. Saya berpendapat kritikan itu adalah perkara biasa dalam AMANAH.

“Apabila mereka memberi pandangan mereka, dalam waktu yang sama kita juga akan memberi penjelasan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) berkata demikian ketika ditanya mengenai Konvensyen Nasional AMANAH pada 6 hingga 8 Disember nanti di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam.

Konvensyen parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang bertemakan ‘Kestabilan Memacu Kemakmuran Bersama’ kali ini menyaksikan pemilihan pertama selepas menjadi kerajaan.

Ditanya tentang isu yang bakal disentuh oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dalam konvensyen kali ini, Ahli Parlimen Parit Buntar itu mempunyai jangkaannya yang tersendiri.

“Isunya saya jangka adalah daripada segi bagaimana parti AMANAH boleh dilihat sebagai satu komponen yang efektif dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai parti yang memerintah, ujarnya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Parit Buntar tersebut berharap barisan kepimpinan baharu yang dipilih nanti akan terus membawa agenda Rahmatan Lil Alamin.

“Lebih penting adalah menyumbang kepada dasar yang lebih besar, iaitu Kemakmuran Bersama. Sebagai kerajaan, cita-cita untuk membentuk Malaysia Baharu juga akan diteruskan dan semua kaum, agama duduk dalam keadaan aman damai,” ujarnya lagi.