Menjelang MAHA18: Merisik masa hadapan sektor pertanian Malaysia

Menjelang MAHA18: Merisik masa hadapan sektor pertanian Malaysia

Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show atau MAHA 2018 ialah acara julung kali yang dianjurkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kepimpinan baru bermula 22 November ini.

Umum mengetahui bahawa MAHA dianjurkan, antara lain, untuk mempamerkan hasil produk pertanian negara dan meningkatkan peluang untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memperkasakan sektor pertanian dan industri asas tani negara.

Dalam erti kata lain, MAHA ialah platform bagi rakyat Malaysia dan rakan-rakan perniagaan dalam dan luar negara untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang perkembangan semasa sektor ini.

Usaha penganjuran MAHA ini turut mendepani permasalahan Food Security atau Sekuriti Makanan di Malaysia. Malah, daripada suatu sudut pandang, terdapat dua isu utama yang telah diberi perhatian oleh pihak kementerian pimpinan Datuk Salahuddin Ayub yang memberi gambaran masa hadapan industri tani negara.

Pertama ialah memanfaatkan era teknologi demi memperkasakan dan memantapkan sektor pertanian negara.

Sebagai contoh, penulisan saudara Phar Kim Beng bertajuk “Optik yang betul dan strategik diperlukan untuk memahami Belanjawan 2019” menyebut manfaat “e-commerce” dalam memasarkan barangan dengan lebih cepat dan efisien dengan kesinambungan rangkaian internet di luar bandar.

Tidak dinafikan, melalui “e-commerce” ini, ia memberi peluang kepada para petani dan nelayan untuk berniaga secara terus dengan pemborong dan pengguna di bandar serta seluruh rantau Asia.

Malah, ia akan meningkatkan rangkaian pelanggan kerana melalui perniagaan atas talian, jumlah pembeli dan pemborong akan menjadi lebih besar. Bagi rantau Asia Tenggara sahaja, pengguna rangkaian internet mencecah sehingga 300 juta orang, menurut kajian Google.

Loading...

Malah, pendidikan yang memberi penekanan yang bersesuaian era teknologi turut diperkenalkan. Melalui program latihan kemahiran pertanian yang ditawarkan pihak kementerian, antara bidang yang ditawarkan termasuk teknologi perikanan penangkapan.

Program latihan ini, antara lain terletak di bawah TVET Malaysia, memberi penekanan untuk memanfaatkan teknologi semasa, demi memastikan industri pertanian dan perikanan akan terus diperkasakan.

Melalui program ini, selain golongan belia, para nelayan yang lain berpeluang untuk turut bersaing dengan konsep “re-education” atau pembelajaran semula, dalam melaksanakan kerja dengan penggunaan teknologi. Ini adalah antara prinsip-prinsip asas dalam mendepani kesan Revolusi Industri Ke-4.

Hal ini jelas bahawa kementerian pimpinan Datuk Salahuddin Ayub arif tentang dasar-dasar yang mengikuti zaman dan kekal relevan.

Salahudin nampaknya memberikan fokus betul kepada MAHA2018.

Malah, hal ini turut selari dengan pandangan Perdana Menteri yang berhasrat untuk memastikan kesemua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada era teknologi ini dan memastikan ia tidak melebarkan jurang ketidaksamaan. Hal ini disampaikan beliau ketika ucaptama di Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) baru-baru ini.

Kedua ialah peningkatan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian.

Umum mengetahui bahawa golongan muda merupakan masa hadapan negara. Dalam erti kata lain, penglibatan mereka dalam sektor ini amat penting demi masa hadapan pemakanan Malaysia. Oleh itu, dengan tema “Makanan Kita, Masa Hadapan Kita” jelas menunjukkan usaha kerajaan dalam memastikan kemampanan industri ini melalui penglibatan belia negara.

Walaupun sebelum ini, kurangnya penglibatan golongan muda disebab tiada akses kepada sumber utama pertanian seperti tanah dan kekurangan sumber kewangan, menurut kajian yang dilakukan Institut Kajian Penyelidikan Khazanah, perkara ini boleh diatasi dengan pelbagai inisiatif kementerian yang mesra belia.

Ini termasuk program latihan kemahiran pertanian, agropreneur muda, geran yang sediakan, antara lain.

Malah, pihak kementerian juga turut bersikap terbuka yang mesra belia dengan menubuhkan Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPN) dimana orang awam boleh memberikan sebarang cadangan atau membangkitkan isu-isu tertentu di dalam laman sesawang kementerian demi memantapkan sektor pertanian negara.