Malaysia Dateline

Ahmad Zahid Hamidi

Menjelang Parlimen kembali bersidang, Zahid anggap kerajaan hari ini hanya sementara

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan kerajaan hari ini yang diterajui Naibnya, Ismail Sabri hanyalah bersifat sementara selagi mana tidak memiliki mandat mutlak rakyat.

Penegasan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu muncul ketika Ismail baru memasuki hari yang ke-19 sebagai Perdana Menteri serta menjelang mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 pada 13 September depan.

Zahid berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan bagi membolehkan mandat mutlak diperolehi untuk membentuk kerajaan yang stabil dan dipilih oleh rakyat apabila pandemik Covid-19 mula berakhir dan imuniti kelompok dicapai.

Hal itu jelasnya, telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno lalu dan berpedomankan titah saranan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi berhubung pembentukan jemaah menteri diterajui Ismail dan pelantikan Mahiaddin Yassin yang merupakan Presiden Bersatu dalam kerajaan.

“Saya menerima banyak pertanyaan, bahkan sempat membaca pelbagai komen bertanyakan mengenai apakah pendirian Umno dalam pembentukan Jemaah Menteri dan perlantikan mantan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri,” kata Zahid.