Malaysia Dateline

Menjelang PAU, perangkap besar menanti Umno?

Tiada apa yang mengejutkan daripada tindakan Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub pada 9 Januari lalu apabila beliau dilaporkan menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kalau boleh diberikan sedikit pujian adalah tindakannya meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkuat kuasa 6 Januari lalu. Tidak ramai yang sanggup meletakkan jawatan yang tentunya menjanjikan imbuhan bulanan yang lumayan.

Tindakan Jazlan menarik sokongan kepada PN diambil selepas sebahagian besar Umno Bahagian yang bermesyuarat secara serentak di seluruh negara pada awal bulan ini mengambil ketetapan menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

Media melaporkan, daripada 191 Umno Bahagian, 189 bersetuju menolak kerjasama itu. Sepatutnya daripada keputusan ini sahaja sudah cukup memberi isyarat kepada pemimpin Umno supaya mengambil tindakan segera daripada suara akar umbi itu.

Tetapi berdasarkan kenyataan media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Rabu lalu, parti itu hanya menyebut akan memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam pilihan raya akan datang tanpa menyebut status terkini dalam kerajaan PN.

Apa yang turut penting diberikan perhatian adalah gesaan supaya PRU diadakan sebelum Mac 2021 agar kuasa memilih diberikan kepada pengundi untuk memilih kerajaan baharu.

Kini, perhatian tertumpu kepada Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada hujung bulan ini untuk melihat dengan lebih jelas hala tuju parti itu selepas ini dalam kerajaan.

Tetapi berbalik kepada hala tuju Umno kini, pembatas kepada penegasan tersebut hanyalah mengenai kerjasama pada PRU nanti. Bagaimana pula dengan sokongan kepada kerajaan ketika ini?

Ugutan Umno kepada Muhyiddin bukan hal baharu. Tidak cukup ahli akar umbi, pemimpin utama Umno seperti Zahid Hamidi dan Najib Razak juga pernah menyuarakan hal yang sama.

Tetapi menjelang pembentangan Belanjawan 2021, perbahasan peringkat Jawatankuasa dan kali ketiga menyaksikan ugutan Umno hanyalah suara rengek anak kecil sahaja.

Disumbat mulut dengan dedak atau diugut dengan fail-fail sulit, maka senyaplah mereka yang berteriak kuat pada awal tadi.

Hanya pada waktu itu, ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sahaja yang berani menunjuk sikap. Dihantar usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin, dituduh kerajaan kini tiada keabsahan dan akhirnya beliau tidak hadir semasa pengundian Belanjawan 2021.

Namun begitu, dengan sikap tegas yang jelas lagi terbuka oleh veteren Umno itu pun Muhyiddin masih berdiri sebagai Perdana Menteri.

Sama ada stabil atau tidak, bukanlah persoalan yang penting. Tetapi sejauh mana mana-mana pihak daripada Umno atau Pakatan Harapan (PH) mampu menumpaskan Muhyiddin dan menoktahkan PN sebagai kerajaan.

Satu hal yang mungkin agak menyenangkan bagi PH atau khususnya Anwar Ibrahim adalah kenyataan Annuar Musa selepas dipecat daripada jawatan Setiauaha Agung Barisan Nasional (BN).

Dalam satu sidang media, beliau mengakui kebenaran surat Najib dan Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang menyokong ahli Parlimen Port Dickson itu menjadi Perdana Menteri.

Kini, terserlahlah pula bahawa Anwar memang mempunyai bilangan untuk mengusir Muhyiddin daripada takhta perdana menteri. Mungkin ada juga yang bertanya kalau sekadar dua ahli Parlimen Umno sahaja yang menyokong Anwar, tepatkah sifat bilangan sokongan ‘strong, convincing and formidable’?

Apa yang perlu difahami pula adalah walaupun hanya Najib dan Zahid sahaja yang disebut Annuar sebagai menyokong Anwar, tetapi dua pemimpin Umno ini diakui masih berpengaruh dalam Umno untuk menentukan dan menetapkan sikap dan pendirian sekalian besar ahli Parlimen Umno yang lain.

Namun begitu, tiada guna untuk masih berpolemik hal ini kerana bola tanggung kini berada dalam tangan Umno untuk menentukan sendiri hala tuju parti itu dengan PN. Jika benar parti nasionalis itu masih tinggi kependekarannya, usah ditunggu-tunggu lagi.

Ayuh, nyatakan sikap atau terus-menerus dilihat sebagai mangsa buli Muhyiddin.

Muhyiddin pula, walaupun pada permukaannya kelihatan senyap membisu dalam mengulas apa yang berlaku, boleh dipercayai bahawa pihaknya tidak akan tunduk diam kepada bekas partinya. Dibantu oleh Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin, jangkaan yang boleh dibuat adalah perancangan Bersatu untuk terus mengukuhkan PN menghadapi PRU.

Pelantikan 14 Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN seluruh negara baru-baru ini menunjukkan bagaimana Bersatu cekap memanfaatkan keakraban baharu dengan Pas apabila turut melantik parti itu sebagai pengerusi di empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah.

Pelantikan ini sekaligus mengukuhkan hubungan Bersatu dengan Pas berbanding dalam kalangan Muafakat Nasional apabila sehingga kini masih gagal didaftarkan ke Pendaftar Pertubuhan (ROS). Menjelang PRU, mudah dijangka dengan parti mana Pas akan memberikan kerjasama yang lebih jitu.

Selain itu, ciapan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin di Twitter apabila menyebut bahawa berpolitik (Asri sebut ‘siasah’) bukan untuk menyelamat penjenayah dilihat sebagai sindiran tidak langsung kepada ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan yang mempersoalkan kes-kes melibatkan pemimpin Umno yang tidak dibatalkan oleh PN.

Hal ini katanya, menjadi punca lain mengapa Umno berang dengan PN.

Berdasarkan kepada sikap senyap Bersatu, usah mudah menganggap parti ini lemah. Besar kemungkinan satu perangkap besar sedang dipasang dan menanti Umno termasuk dalam muslihat ini sekaligus memudahkan parti itu mencapai matlamat menggantikan Umno dan muncul sebagai parti Melayu dalam negara.

Sehingga waktu itu muncul, adakah PH sudah bersiap-siaga menghadapi pertarungan yang serba kompleks ini atau masih berpusing-pusing mencari formula grand strategi dan grand coalition?