Malaysia Dateline

Menjelang penamaan PM, Ismail Sabri tayang Oyen

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkongsikan gambar beliau dan isterinya, Datin Sri Muhaini Zainal Abidin bersarapan pagi tadi.

Tambah memeriahkan gambar itu dengan kehadiran kucing peliharaan keluarganya yang berwarna jingga atau biasanya dipanggil ‘Oyen’.

“Baru nak breakfast berdua. Si Oyen ni nak join jugak,” katanya ringkas ketika namanya hangat disebut-sebut sebagai calon tunggal Perdana Menteri daripada pihak BN.

Ismail Sabri, 61, merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri yang dilantik pada bulan lalu serta kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan ketika itu.

Ayah kepada empat anak itu juga merupakan bapa mentua kepada usahawan dan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie.

Pemimpin Umno berkenaan sebelum ini dikritik banyak pihak ekoran keputusannya pada September tahun lalu yang tidak mengenakan arahan kuarantin untuk individu yang pulang dari Sabah.

Ekoran keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah itu, berlaku pola lonjakan mendadak kes jangkitan Covid-19 di Semenanjung Malaysia.

Jangkaan risiko penularan pandemik Covid-19 jika pilihan raya diadakan di negara ini juga sejak awal lagi telah dibangkitkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Kegagalan PN dengan barisan Kabinet XXL melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 menjerumuskan negara kepada pertambahan jumlah jangkitan dan kematian akibat pandemik tersebut.

Sepanjang tempoh Ismail Sabri dalam PN yang dikritik rakyat sebagai Kerajaan Gagal, jangkitan Covid-19 sudah berjumlah 1,444,270 kes setakat semalam dengan secara purata lebih 19,000 kes harian direkodkan.

Jumlah kematian akibat jangkitan wabak itu termasuk kematian di luar hospital (BID) juga terus melambung dan mencecah 13,077 kes dengan purata harian lebih 200 kes maut.