Malaysia Dateline

Menjelang pengumuman barisan Kabinet, kematian Covid-19 catat angka tertinggi

Malaysia sekali lagi mencatatkan kes kematian tertinggi akibat Covid-19 apabila 393 lagi kes baharu dilaporkan hari ini.

Angka itu menjadikan jumlah kematian akibat pandemik tersebut mencecah 15,211 kes iaitu 0.93 peratus.

Menjelang pengumuman pembentukan barisan Kabinet baharu Perdana Menteri juga, kes baharu jangkitan Covid-19 juga merekodkan angka tertinggi dengan 24,599 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata walaupun pada hari ini negara mencatatkan jumlah kes tertinggi sepanjang pandemik, kebanyakan kes yang dilaporkan adalah berada di kategori klinikal 1 dan 2 semasa didiagnosa.

Menurutnya, jumlah bagi kedua-dua kategori itu ialah 23,939 kes bersamaan 97.3 peratus daripada keseluruhan kes pada hari ini.

“Sebanyak 660 kes (2.7 peratus) pula adalah daripada kategori 3, 4 dan 5. Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 125 daripada 393 kes kematian hari ini dilapor di Selangor diikuti Kuala Lumpur (61), Johor (48), Melaka (33), Pulau Pinang (31), Sabah (26), Negeri Sembilan (20), manakala Kedah dan Perak masing-masing merekodkan 15 kes.

Kematian hari ini turut dilaporkan di Kelantan dengan sembilan kes disusuli lapan kes di Pahang serta dua kes di Terengganu.

Sementara itu, terdapat 990 pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 487 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.