Malaysia Dateline

Menjelang PRK Tanjung Piai: Umno-MCA bertegang urat, ketua kampung sokong PH

Ahmad Sani Kemat

Umno dan MCA sedang bertegang urat dalam mencari kata sepakat untuk meletakkan calon bertanding, kata Ketua AMANAH Kawasan Tanjung Piai, Ahmad Sani Kemat.

Menurutnya, kerusi dengan komposisi 41.6 peratus pengundi Cina itu juga bukan tempat yang selesa buat mana-mana parti pembangkang.

“Umno dan MCA sedang kelahi. Pengaruh Umno-Pas tidak berapa kuat, terumbang-ambing apalagi selepas PRU14. Sebahagian ahli Umno menyeberang ke Bersatu.

“Kira-kira 50 peratus ahli Pas pula sudah menyertai AMANAH. Sejak dulu lagi pun, Pas tidak mempunyai pengaruh kuat di Tanjung Piai,” ujar guru agama itu ketika ditemui Malaysia Dateline di Kampung Sawah, Pekan Nenas.

Ahmad Sani, 78, turut berkongsikan sambutan masyarakat Melayu tempatan terhadap Pakatan Harapan (PH) khususnya AMANAH.

Beliau yang juga bapa saudara penyandang P165 Tanjung Piai, Allahyarham Dr Md Farid  berkata, pendekatan Rahmatan Lil Alamin secara umumnya diterima baik.

“Ketua-ketua kampung yang asalnya Umno ramai sudah cenderung kepada AMANAH. Hanya cabaran buat kita di akar umbi dalam berdepan dengan tohmahan AMANAH kononnya khadam DAP.

“Kita jelaskan kepada mereka bahawa Rahmatan Lil Alamin bukannya agenda liberal sebaliknya lebih mendekati kepada keharmonian dan sikap saling menghormati antara satu sama lain,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Ahmad Sani berharap agar kerajaan PH menyediakan pendekatan berkesan dalam menangani isu pembinaan rumah ibadat secara tidak sah.

“Semua orang tanpa mengira kaum dan agama ada hak hidup bernegara asalkan tidak melampaui batas.

“Hanya kerajaan perlu ada mekanisme dalam hal berkaitan agama selain Islam contohnya dasar kawalan terhadap pembinaan rumah ibadat.

“Ya, rakyat di negara ini bebas beragama tetapi bukannya bebas pacak (tempat ibadat) di mana-mana. Mesti ada kawalan dan had sewajarnya,” ujarnya lagi.