Malaysia Dateline

Menjelang PRU-15: Majoriti sokong kerjasama politik Umno, PH

Majoriti pengguna Facebook dan Twitter bersetuju dengan kerjasama politik antara Umno dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Keputusan undian atas talian menerusi saluran Facebook Studio Dahsyat malam ini mendapati 54 peratus pengguna laman sosial itu menerima kerjasama membabitkan kedua-dua blok politik itu.

Pola sokongan sama juga ditunjukkan daripada hasil undian di Twitter dengan 61 peratus menjawab ‘ya’ untuk soalan, “Adakah Umno dan PH perlu membentuk kerjasama politik?”

Keputusan undian itu diumumkan dalam bual bicara bertajuk “PH, Umno: Bersediakah ke Medan Juang?” dengan kira-kira 3,400 tontonan pada akhir slot Borak Dahsyat itu sebentar tadi.

Terdahulu, salah seorang ahli panel ialah Pengerusi Veteran Umno, Datuk Seri Kamal Amir yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Karangkraf.

Dua lagi panelis ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil merangkap Pengarah Komunikasi PKR serta Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang juga Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat.