Malaysia Dateline

Menjelang PRU15: Abdul Hadi bertandang dari Johor ke Melaka

Johor menjadi negeri pertama kunjungan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bila-bila masa sahaja akan diadakan.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu memberitahu kunjungan itu sebagai untuk mendapatkan “maklum balas akar umbi berkenaan situasi politik semasa”.

Dalam sesi libat urus bersama Badan Perhubungan Pas Johor, Abdul Hadi berkata, beliau turut mendengar laporan negeri dan mengadakan sesi dialog untuk menjelaskan hala tuju dan pendekatan Pas terkini.

“Insya-Allah Pas akan terus memperkukuhkan perpaduan ummah, membina kekuatan parti serta menawarkan kepimpinan yang berintegriti dan berkebajikan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, Pas hanya mempunyai seorang wakil iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir, Najib Lep yang dimenangi pada PRU-14 selepas calon Bersatu gagal bertanding.

Pada PRU 2018 itu, Pas Johor meletakkan 41 calon untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, manakala 20 calon lagi bertanding di peringkat Parlimen.

Abdul Hadi dalam pertemuan dengan Badan Perhubungan Pas Johor kelmarin.

Semalam, Abdul Hadi mengunjungi Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali di Seri Bendahara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu dari Umno.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang tersebut memberitahu kunjungannya itu turut diiringi Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek.

“Pertemuan yang berlangsung dengan penuh mesra ini telah menzahirkan keutuhan perpaduan ummah di negeri Melaka dan meletakkan agenda prihatin rakyat sebagai keutamaan ketika berdepan dengan wabak Covid-19.

“Semoga YAB Datuk diberikan kekuatan dalam mengemudi pentadbiran kerajaan demi kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri Melaka,” kata Abdul Hadi.

Sulaiman mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 di Kompleks Seri Negeri pada 9 Mac tahun lalu.

Pas ditolak sama sekali oleh rakyat di Melaka pada PRU 2018 apabila gagal memenangi sebarang kerusi walaupun bertanding di 24 kerusi DUN dan lima kerusi Parlimen.