Malaysia Dateline

Menjelang PRU15: Pas anggap janji ini tawaran ‘mi segera’

Pas menganggap cadangan jawatan Timbalan Perdana Menteri diisi lebih daripada seorang calon termasuk daripada Sabah dan Sarawak dilihat sebagai janji ‘mi segera’

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cadangan itu hanya janji politik bagi memenuhi permintaan parti politik di Sabah dan Sarawak.

“Tawaran bersifat ‘mi segera’ adalah gambaran kumpulan terdesak. Saya yakin apa saja yang diminta kepada kumpulan terdesak ini, akan dijanjikan.

“Minta sungai pun mungkin diluluskan namun persoalannya apakah ia wajar dan baik untuk masa depan negara,” lapor BH.

Menurutnya, kewujudan jawatan TPM dalam kerajaan tidak perlu disandarkan kepada keperluan bagi pembangunan sesuatu wilayah sebaliknya signifikan kepada seluruh negara.

Jelasnya, jawatan Perdana Menteri dan TPM mestilah memikirkan kepada pembangunan seluruh negara.

“Tidak perlu wujud jawatan TPM bagi satu wilayah saja. Ia hanya akan menambah kos bagi kerajaan.

“Selama lebih 60 tahun kita merdeka, semua wilayah diberi perhatian sama. Bahkan kita telah wujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak,” tambah Tuan Ibrahim lagi.

Terdahulu, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mencadangkan mahu mewujudkan jawatan TPM dengan salah satu jawatan itu dilantik dalam kalangan wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Baca juga Sembilan negeri ekonomi tertinggal – Ini pesan pakar buat mereka yang bakal membentuk kerajaan

Baca juga Pastikan pengundi 18 tahun keluar mengundi, undian penting untuk masa depan negara