Malaysia Dateline

Menjelang sidang Parlimen: Muhyiddin, pemimpin PN bermesyuarat hari ini

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang berkumpul untuk bermesyuarat pra-Parlimen di Hotel Hilton Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dilihat memasuki hotel itu kira-kira jam 12.20 tengah hari selepas ketibaan beberapa pemimpin PN lain.

Pertemuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa di Lembah Klang itu berlaku menjelang sidang Dewan Rakyat esok.

Selain Muhyiddin, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga dilapor hadir.

Turut hadir Presiden Parti Bersatu Sabah, Maximus Ongkili; Presiden MCA, Wee Ka Siong; dan Presiden MIC, S Vigneswaran.

Setakat kelmarin, terdapat 25 Ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul menentang Perdana Menteri berdasarkan draf Aturan Urusan Mesyuarat pada sidang Parlimen esok.

Sementara itu, terdapat dua usul undi percaya menyokong Muhyiddin iaitu Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dari Pas.