Malaysia Dateline

Menjelang #TangkapAzamBaki: Tiga pemimpin Pemuda AMANAH hadir ke IPD Dang Wangi

Sidang media Pemuda AMANAH Nasional dan Peguam Muda semalam. Tengah: Fadhli

Tiga pemimpin Pemuda AMANAH Nasional tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara untuk dirakam keterangan, tengah hari tadi.

Mereka ialah Peguam Muda AMANAH Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda; Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Ahmad Zubair Wan Abdul Rahim dan Pengarah Mobilisasi sayap parti itu, Abbas Azmi.

Semalam, ketiga-tiga mereka mengadakan sidang media di Wisma AMANAH untuk menggerakkan demonstrasi aman #TangkapAzamBaki di Sogo, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Sekurang-kurangnya 10 peguam disediakan untuk memastikan tiada sebarang tindakan yang melanggar undang-undang sepanjang berlangsungnya demonstrasi tersebut.

Pentas Pemuda pada malam sebelum demonstrasi aman itu juga akan diadakan dengan bakal mengumpulkan wakil dari setiap sayap pemuda parti-parti Pakatan Harapan (PH) selain wakil dari Jawatankuasa Bertindak #TangkapAzamBaki.

Terdahulu, jawatankuasa bertindak itu akan mengadakan demonstrasi aman bermula jam 11 pagi, 22 Januari ini bagi menuntut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap serta-merta.

Jawatankuasa tersebut juga menuntut supaya proses undang-undang ke atas Azam Baki dimulakan segera dan SPRM dirombak serta diletakkan di bawah Parlimen.

Dalam masa sama, rakyat Malaysia turut diajak mengibarkan bendera hitam dan menggunakan tanda pagar #TangkapAzamBaki serta #RombakSPRM di media sosial.

Dari kiri: Zubair, Fadhli dan Abbas.