Malaysia Dateline

Menjelang usaha singkir, Ariff lancar buku mengenai Dewan Rakyat

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dijadualkan bakal melancarkan satu buku panduan undang-undang untuk digunapakai di Dewan Rakyat menjelang usul penamatan lantikannya pada sidang Parlimen nanti.

Dalam tentatif tersebut, pelancaran buku bertajuk ‘Law, Principles and Practice in the Dewan Rakyat (House Representatives) of Malaysia’ dijadualkan pada 7 Julai ini.

Pelancaran tersebut membabitkan kehadiran beberapa individu penting seperti Country Head Thomson Reuters Malaysia, Girish Kamat dan beberapa pengarang bersama (Co-Author) yang menghasilkan buku tersebut.

Pengarang bersama yang terlibat termasuklah Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya, Prof. Shad Saleem Faruqi; Dekan Undang-Undang, Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Farid Sufian Shuaib; bekas Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Rossme Hamzah.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun juga antara pengarang bersama dalam penghasilan buku yang disebut-sebut bakal menggantikan kedudukan Mohamad Ariff sebagai Speaker.

Terkini, tersebar Azhar sudah pun meletakkan jawatannya di SPR sekali gus menguatkan lagi dakwaan bahawa beliau telah ditawarkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu.

Dilaporkan, Azhar yang juga peguam telah menyerahkan surat peletakan jawatannya pada 30 Jun lalu.