Malaysia Dateline

Menolak kepimpinan Anwar: Muafakat PH perlu dihormati semua komponen, kata Exco

Muafakat penubuhan Pakatan Harapan (PH) perlu dihormati oleh semua komponen dalam PH, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdul Halim Hussain.

Beliau berkata, rakyat memilih PH dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 Mei yang lalu adalah kerana menolak Umno dan BN serta yakin dengan janji-janji yang telah dinyatakan dalam manifesto PH.

Malah katanya lagi, tidak dapat disangkal semakin jelas dan ketara terdapat usaha dari kalangan pimpinan PKR sendiri yang cuba untuk menidakkan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden parti.

“Ini terbukti apabila adanya keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh Presiden dipertikaikan meskipun sebahagian keputusan adalah hasil musyawarah serta dalam bidang kuasa yang telah diuntukkan kepada Presiden.

“Golongan ini cuba bergabung dengan anasir luar bagi memporak-perandakan PKR dan menidakkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Wajah-wajah yang cuba dipamirkan oleh golongan tersebut semakin terserlah dan tidak dapat berselindung lagi, ” jelasnya.

Abdul Halim yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut berkata, golongan tersebut seharusnya berani untuk tampil dan mengisytiharkan dengan segera samada mereka bersama kepimpinan Anwar atau sebaliknya.

“Sekiranya golongan tersebut enggan menerima mandat yang telah dipersetujui dengan kuasa yang ada pada Presiden parti, maka adalah lebih baik bagi golongan tersebut keluar dari PKR.

“Segala tindakan yang mencemarkan PKR akan turut memberi impak dan keberkesanan kepada PH yang menunjangi kepimpinan kerajaan negeri dan juga pusat.

“Ia memberi impak yang besar kerana rakyat akan mencari alternatif yang lain seandainya PH terus gagal dalam urustadbir negara, ” tegasnya lagi.

Tambahnya lagi, pimpinan PH yang gagal menghormati persetujuan dan hasil muafakat PH sewajarnya berundur dengan segera kerana ia akan memberi impak negatif yang besar dalam jangkamasa panjang.

Yang paling utama sarannya, PKR hanya mempunyai seorang Presiden iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejajar dengan itu katanya, harus akur dengan keputusan yang dibuat oleh Anwar sebagai Presiden yang melihat kepentingan jangkamasa panjang demi kebaikan parti dan juga PH.