Malaysia Dateline

Mentafsirkan undian 109 dalam penyingkiran Speaker Dewan Rakyat

Apa mesej daripada keputusan undian penyingkiran Speaker Dewan Rakyat, Isnin, 13 Julai lalu?

Selepas lebih empat bulan memperalatkan kuasa untuk menambat kesetiaan ahli-ahli Parlimen, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hanya berupaya mengikat 111 wakil rakyat (atau sekadar separuh ahli Dewan) bersamanya.

Muhyiddin, bekas menteri kanan dalam Kabinet Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan yang mengkhianati mentornya, Tun Dr Mahathir Mohamad, dilihat dalam keadaan tidak stabil untuk mengemudi kerajaan sehingga penggal pemerintahan berakhir.

Beliau bernasib baik, sekurang-kurangnya untuk waktu terdekat, apabila gabungan pembangkang masih nampak bercelaru dan bertelingkah mengenai calon perdana menteri sekiranya Putrajaya dapat direbut kembali.

PH pula tinggal tiga buah parti sahaja, iaitu PKR, DAP dan AMANAH, manakala Bersatu pimpinan Mahathir dan Warisan hanya mengadakan kerjasama longgar sahaja.

Cadangan terakhir yang mencalonkan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri juga tidak menyelesaikan kekusutan pembangkang.

Opsyen pertama, iaitu pasangan Anwar Ibrahim dan Mukhriz Mahathir tidak mendapat “cukup bilang”, sementara opsyen kedua, kombo Mahathir-Anwar pula ditolak bulat-bulat oleh PKR yang mempunyai hampir 40 ahli Parlimen.

Justeru, umum melihat ketika Perikatan Nasional juga goyah dan bercakaran sesama sendiri, pembangkang terus berbeda pendapat sehingga memungkinkan perpecahan.

Pilihan untuk memartabatkan kembali mandat rakyat PRU-14 masih terbuka jika Mahathir dan Anwar boleh mencari persefahaman baru.

Bekalan 109 undi seperti diperolehi dalam pengundian Speaker Dewan Rakyat berpotensi untuk dilonjakkan sekiranya tiga wakil rakyat lagi menolak Muhyiddin. Difahamkan GPS bersedia bersama gabungan parti pemerintah selepas melepasi paras penentu 112 undi.

Saya masih memegang keyakinan bahawa Putrajaya (seterusnya negeri-negeri tertentu seperti Johor, Melaka, Perak dan Kedah) mesti direbut semula.

Potensinya tetap terbuka luas dan belum tertutup sekiranya dua tokoh besar ini — Mahathir dan Anwar — dapat melakukan pengorbanan besar demi negara.

DAP dan AMANAH dilihat realistik serta praktikal dalam mencari solusi terbaik bagi mendapatkan “cukup bilang” calon perdana menteri. Kedua-dua parti reformasi itu sedia dikritik dan dikecam oleh penyokong pembangkang asalkan misi lebih besar tercapai.

Cukup dangkal 

Negara kini dikemudi tanpa arah dan hala tuju. Pandemik virus korona memberikan keselesaan kepada pentadbiran Muhyiddin-Azmin. Mungkin nampak popular tetapi dalam masa sama keresahan rakyat terpendam.

Pakej rangsangan dilancarkan tanpa proses semak-imbang. Umum diberitahu ia dibuat demi kepentingan rakyat yang diamuk krisis serius. Seolah-olah jika melalui perbahasan dan perdebatan, ia mungkin tergendala; dalih politik yang cukup dangkal!

Rakan-rakan yang mempunyai hubungan dengan sumber terdekat kerajaan baharu memaklumkan budaya politik naungan warisan BN, yang membenihkan korupsi kembali diamalkan.

Serentak itu, usaha melakukan pembaharuan dan reformasi telah terbantut sebaik terbentuk kerajaan pintu belakang, Mac.

Menteri-menteri PN dan wakil rakyat yang mengetuai GLC khabarnya memulakan kembali tabiat lama rejim terdahulu. Malah ada pihak secara terbuka mengeluh, “modal banyak habis digunakan untuk tumbangkan kerajaan PH, kini masanya untuk mendapatkan balik jutaan ringgit yang telah hangus itu.”

Tempoh lebih panjang PN mentadbir mungkin boleh menjadi modal politik yang baik kepada pembangkang, di samping mendedahkan lagi sikap hipokrasi Umno-Pas khususnya, namun kita lebih prihatin dengan masa depan negara.

Makin lama Malaysia dibelit dan dikuasai kerakusan elit politik PN, semakin sukar untuk keluar daripada jurang yang dalam itu. Sudahlah bahana skandal nega 1MDB belum dapat dipulihkan, bertambah pula petaka baru dibawa oleh pentadbiran kerajaan tebuk atap.

Ya, undi 109 yang tidak bersama Muhyiddin itu memberi harapan baru menandakan usaha merebut balik Putrajaya sebenarnya masih berpotensi.

Sesiapa yang boleh menyempurnakan “cukup bilang” harus diberi peluang. Kombinasi Mahathir-Anwar-Shafie merupakan aset paling berharga dalam misi menyelamatkan negara. Kita belum berjumpa jalan mati lagi; segalanya serba mungkin.

Mungkin ada pihak yang berpegang dengan satu solusi: Tunggu sahaja PRU15, buat persiapan secukupnya, usah bazirkan masa dengan polemik calon perdana menteri yang tidak berkesudahan ini.

Sebenarnya semasa proses melobi calon PM terus berjalan dan kompromi tetap dicari, persediaan pilihan raya tetap tidak diabaikan. Soal pembubaran Parlimen bukan sahaja terletak di tangan perdana menteri tetapi juga mesti diperkenan oleh Baginda Agong.

Kebijaksanaan baginda menjadi kata putus. Sementara masih ada jalan, mengapa ia mesti disia-siakan. Mandat rakyat dua tahun lalu mengharapkan agenda pembaharuan yang digariskan manifesto PH dapat dilaksanakan.

Mungkin jika ditakdirkan PH berkuasa semula dalam waktu terdekat, Parlimen juga akan dibubarkan bagi mengelak suasana tidak stabil berterusan.

Tapi impian personal saya biarlah Dewan Rakyat dibubarkan semasa kerajaan dipimpin PH, bukannya di bawah kawalan Umno-Pas.

Saya juga mahu kes-kes mahkamah berprofil tinggi, membabitkan antaranya Najib Razak, Zahid Hamidi, Azeez Rahim, dapat berakhir secara adil tanpa campur tangan Eksekutif.

Dan proses reformasi yang sudah berjalan dengan baik di bawah pentadbiran Mahathir-Wan Azizah dapat bersambung kembali.