Malaysia Dateline

‘Mentaliti terkepung’ di kalangan majoriti bukan unik kepada Malaysia

“Mentaliti terkepung” di kalangan kumpulan majoriti di sesebuah negara bukan fenomena yang unik kepada Malaysia sahaja, menurut Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr Azmil Tayeb.

“Kita dapat melihat mentaliti terkepung seperti ini di kalangan majoriti di Indonesia, beberapa negara Eropah dan juga Amerika Syarikat,” kata Dr Azmil pada seminar “Malaysia’s Pakatan Harapan: One year On” yang dianjurkan oleh Institut ISEAS-Yusof Ishakp pada Isnin.

“Ia sebenarnya adalah fenomena global,” kata Dr Azmil yang berucap mengenai tajuk “Different Regime, Same Siege Malay Insecurity and the Umno-Pas Alliance”.

Dr Azmil berkata “mentaliti terkepung” adalah bukan hanya untuk menggambarkan komuniti Islam di Indonesia tetapi juga terpakai kepada Malaysia.

Ketika membuat perbandingan dengan Malaysia, Dr Azmil berkata “entah bagaimana di Malaysia, orang Melayu merasakan kedudukan istimewa mereka boleh diganti … bimbang kehilangan kedudukan istimewa akibat perubahan status quo.

“Ini telah kita lihat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (GE14) apabila kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) tumbang selepas 61 tahun.

“Terdapat juga unsur kekecewaan ekonomi yang kini disalurkan kepada isu-isu etno-agama yang emosional,” katanya.

Menurut Dr Azmil, terdapat tiga isu yang kerap dimainkan di Malaysia iaitu isu “bangsa, agama, dan kerabat diraja.”

“Ketiga-tiga isu ini saling berkait rapat kerana anda tidak boleh mengkritik salah satu daripada isu itu tanpa dituduh mengkritik dua yang lain,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Azmil menyatakan bahawa kebimbangan di kalangan orang Melayu tidak hanya berlaku selepas PRU14.

“Kebimbangan itu sentiasa ada. Cuma ia terkawal memandangkan gabungan BN sebelumnya dikuasai sepenuhnya oleh Umno. Mentaliti terkepung telah bertapak sebelum PRU14. Ini bukan perkara baru. Ia telah berlaku sebelum ini, ” katanya.

Dr Azmil berkata Umno menguasai gabungan itu sehingga ada “persepsi” bahawa keistimewaan Melayu Islam terjamin dengan Umno menerajui gabungan tersebut.

Mengimbas pasca pilihan raya umum 1969 apabila negara dikejutkan dengan tragedi rusuhan kaum, Dr Azmil berkata terdapat ketakutan yang meluas di kalangan orang Melayu bahawa orang Cina mengambil alih selepas Perikatan dinafikan majoriti dua pertiga.

“Kebimbangan yang sama dapat kita lihat sekarang. Terdapat beberapa persamaan, ” katanya.

“Selepas 1969, isu penyatuan sementara berhubung ” Perpaduan Melayu “antara Pas dan Umno senyap seketika tetapi hanya untuk jangka masa pendek selama lima tahun,” kata Dr Azmil yang merujuk kepada perkongsian politik antara 1972-1977.- BERNAMA