Malaysia Dateline

Menteri Agama anggap taska Pasti layak terima RM100,000 dari JAKIM

Keputusan menyerahkan wang sumbangan Tabung Musa’adah Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebanyak RM100,000 kepada pusat pendidikan pra-sekolah milik Pas kerana pusat asuhan itu layak untuk menerima dana tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, apabila menyentuh tentang Musa’adah, ia bukan sahaja membabitkan individu bahkan turut melibatkan sekolah-sekolah yang mengalami kesukaran.

Katanya, adalah lebih baik juga sekiranya Musa’adah itu bersifat umum agar ianya sampai kepada sasaran yang memerlukan.

“Apabila kita sebut Musa’adah, kita mengumumkan kepada mereka yang layak. Kepada non-muslim, Orang Asli, nelayan dan sesetengah sekolah yang kesukaran.

“Kita telah membelanjakan Musa’adah hampir RM200 Juta. Apa sepatutnya kita bagi, kita bagi. Hari ini pun termasuk Musa’adah.

“Sasaran kita kalau boleh biarlah ianya bersifat umum. Jadi, dengan sebab itu bagi saya dalam isu-isu seperti pembahagian ini, yang penting memang kita nak sampai kepada sasaran dan boleh dimanfaatkan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Masjid Al-Khasyi’in di ibu negara hari ini.

Beliau hadir merasmikan Program Cuci-cuci Masjid Pasca Covid-19 & Musa’adah Covid-19.

Semalam, tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary yang juga Ahli Parlimen Pas Pengkalan Chepa dipertikai selepas menyerahkan sumbangan Tabung Musa’adah Covid-19 JAKIM sebanyak RM100,000 kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).

Menurut laman rasmi Facebook Jakim, Pasti di seluruh negara yang memerlukan bantuan, akan menerima manfaat hasil sumbangan dana orang ramai melalui inisiatif tabung tersebut.

Untuk rekod, Pasti merupakan pusat pendidikan prasekolah milik Pas yang dikelola Jabatan Pasti, sebuah jabatan di bawah Dewan Pemuda Pas.

Sementara itu, Zulkifli berkata, mana-mana taska yang terkesan selepas ini juga akan dipertimbangkan untuk diberikan peruntukan mengikut keperluan.

“Kita akan lihat berdasarkan peruntukan yang munasabah. Tak ada masalah kalau cukup syarat dan kalau masih ada lagi, kita cubalah tengok satu-satu,” tambahnya lagi.

Rombongan Pasti dalam satu majlis di Kompleks Islam semalam.