Malaysia Dateline

Menteri Agama, Azhar Idrus, dua lagi ustaz dikompaun RM2,000 langgar SOP

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akhirnya dikenakan kompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Beliau gagal mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mencegah penularan Covid-10 itu ketika majlis tahnik anak kedua penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, akhir April lalu.

Turut dikompaun penceramah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid serta Ustaz Iqbal Zain yang juga dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang.

Mereka disiasat mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Untuk rekod, Zulkifli yang pernah disahkan positif Covid-19 dilihat kerap ke sana dan ke sini sepanjang wabak termasuk gagal menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang dari Sabah pada musim Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Pada Mac lepas juga, Zulkifli memberikan khutbah dan tazkirah ringkas pada hari pernikahan selebriti kontroversi, Neelofa, 32 dan ustaz selebriti, Haris Ismail atau PU Riz, 26.

Kehadiran Zulkifli dan tiga ustaz tersebut di majlis anak kedua Siti bernama Muhammad Afwa di Bukit Antarabangsa, Ampang itu mengundang kecaman orang ramai.

Bagaimanapun, Siti dalam reaksinya memberitahu Zulkifli hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

Sementara itu, Azhar Idrus yang terkenal menyebut ‘bodoh’ berulang kali ketika berceramah menjawab, dia memang berada di rumah ibu mentuanya di Kuala Lumpur sewaktu majlis tersebut diadakan.

Bahkan, katanya, dia hadir hanya menuruti permintaan suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K yang dakwanya sudah tiga tahun mereka berkawan.

Selain mereka berempat, Siti dan Datuk K juga dikompaun masing-masing berjumlah RM10,000 di atas kegagalan memastikan penjarakan sosial sewaktu bergambar dan sebagainya ketika majlis berkenaan.

Tiga anak Khalid iaitu Muhammad Adif Khalid, Muhammad Aazief Dan Muhammad Asyraf masing-masing juga dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang.

Ustaz Azhar Idrus juga dikenakan kompaun sebanyak RM2,000.