Malaysia Dateline

Menteri agama dalam Kabinet Anwar Ibrahim

Jawatan Menteri Agama dalam Kabinet ini menjadi sangat popular semenjak selepas PRU 14 apabila Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dilantik oleh Tun Mahathir untuk menjawat jawatan tersebut.

Padahal sebelum itu, jawatan menteri agama bukanlah satu jawatan yang direbut oleh ahli politik.

Berikutnya apabila Dr Mujahid membuat penstrukturan semula Tabung Haji ianya menjadi sangat kontroversi.

Pihak pembangkang semasa itu terutamanya pihak Pas menuduh Dr Mujahid telah menjual aset-aset Tabung Haji kepada orang bukan Islam.

Bahkan apabila dibuat satu syarikat khas iaitu Urus Jemaah Sdn Bhd (UJSB) di bawah kelolaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dituduh pula Dr Mujahid telah menyerahkan aset itu kepada bukan Islam.

Tidak sedikit rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan dakyah negatif itu.

Para ustaz dan penceramah sampul yang mendominasi masjid dan surau telah berceramah di seluruh Malaysia dengan membawa naratif bahawa kerajaan PH itu telah melakukan khianat kepada umat Islam.

Akhirnya, Dr Mujahid telah melakukan tindakan yang betul apabila beliau telah menyaman Dr Asyraf Wajdi dan disaman pula oleh Ustaz Dusuki Abd Rani berkaitan isu yang sama.

Dalam kedua-dua kes itu terbukti bahawa tindakan yang dibuat oleh Dr Mujahid itu adalah satu tindakan yang profesional dan mempunyai justifikasi undang-undang.

Kita juga masih menunggu laporan RCI Tabung Haji dikeluarkan namun sehingga kini laporan tersebut belum dikeluarkan. Pendengaran RCI Tabung Haji juga amat pelik kerana ianya dibuat secara tertutup dan rahsia.

Sepatutnya pendengaran RCI ini dibuat secara terbuka dan wartawan dijemput untuk melihat prosiding berkenaan.

Selepas Langkah Sheraton atau lebih dikenali sebagai Langkah Tebuk Atap, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri telah dilantik oleh PM 8 sebagai menteri agama.

Langkah PM 8 pada masa itu telah mendapat pujian seantero Malaysia kerana prestasi Datuk Dr Zulkfili sewaktu menjadi Mufti Wilayah Persekutuan telah mendapat pujian ramai. Timbalan Menteri pula adalah daripada Pas iaitu Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Meskipun begitu, sepanjang tempoh 17 bulan beliau menduduki jawatan menteri agama itu tiada satu pun rang undang-undang berkaitan agama Islam berjaya diluluskan di Parlimen.

Sepatutnya sebagai seorang menteri, keutamaan adalah untuk merancang pentadbiran agama Islam dan bukan semata-mata menumpukan perhatian kepada bantuan musa’adah Covid semata-mata.

Selepas PM 8 digulingkan oleh rakan tahalufnya sendiri, PM 9 telah melantik Senator Datuk Idris Ahmad iaitu Naib Presiden Pas untuk menjadi menteri agama.

Ramai yang menunggu-nunggu pelantikan menteri agama daripada Pas kerana semuanya menunggu pelaksanaan Islam versi Pas khasnya pembentangan RUU 355.

Lagipun Naib Presiden Pas itu pernah mengucapkan dalam ceramahnya bahawa beri kuasa kepada Pas maka dalam masa 5 hari sahaja semua masalah Islam dapat diselesaikan.

Sehingga akhir pemerintahan PM 9, menteri agama ini telah gagal untuk membentangkan RUU355 dan janji untuk menyelesaikan masalah Islam dalam masa 5 hari tidak kesampaian.

Kini apabila Anwar Ibrahim menjadi PM 10, menteri agama yang dilantik adalah bukan dari kalangan orang politik.

Menurut sumber, PM 10 sebenarnya ingin melantik orang politik juga untuk menjadi menteri agama namun ada pihak tertentu yang lebih bersetuju supaya orang bukan politik dilantik untuk menjadi menteri agama.

Tindakan Datuk Idris Ahmad yang bertentangan secara terbuka dengan Sultan Selangor berhubung dengan Majlis Kebangsaan Islam dan isu Bon Odori mungkin menyumbangkan juga kemelesetan kepercayaan Raja-Raja untuk orang politik menjawat jawatan menteri agama.

Mungkin disebabkan jawatan menteri agama ini terlalu dipolitikkan sehingga menjejaskan pentadbiran agama Islam maka YDPA bersetuju untuk melantik orang bukan parti politik iaitu Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebagai menteri agama.

Dimaklumkan juga perlantikan Dr Na’im ini mendapat restu daripada Majlis Raja-Raja. Dr Mohd Na’im adalah individu yang bukan asing dalam kalangan peguam syarie.

Beliau adalah bekas Ketua Hakim Syarie di Selangor dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Bagi Dr Na’im, beliau pastinya akan menghadapi cabaran besar untuk menjadi menteri agama. Semasa beliau menjadi Ketua Hakim Syarie dan Ketua Pengarah JKSM beberapa pembaharuan telah diperkenalkan seperti sistem perceraian secara fast track, mahkamah bersidang pada waktu malam dan beberapa inisiatif lain.

Struktur pentadbiran Islam di Malaysia sebenarnya adalah rumit kerana Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri.

Sesiapa yang menjadi menteri agama perlu berunding dengan kesemua Sultan dan Majlis Agama di negeri-negeri.

Sebelum sesuatu undang-undang berkaitan Islam diperkenalkan di peringkat Persekutuan, ianya perlu dirundingkan terlebih dahulu dengan negeri-negeri untuk keseragaman.

Kita berharap agar menteri agama ini juga memberikan keutamaan supaya berlaku keseragaman dalam undang-undang Islam di Malaysia.

Sebab itu, apabila Dr Mujahid berjaya membentangkan Akta Profesion Guaman Syarie 2019 di Parlimen ianya adalah satu langkah besar dan memerlukan keazaman politik yang tinggi.

RUU Profesion Guaman Syarie ini sudah terpendam semenjak 17 tahun lalu dan hanya boleh direalisasikan semasa Dr Mujahid menjadi menteri agama.

Harapan umat Islam kepada menteri agama yang baharu adalah untuk melihat banyak lagi undang-undang berkaitan umat Islam dapat dibentangkan di Parlimen dan diluluskan.

Antara undang-undang Islam yang kritikal dan perlu dipercepatkan adalah berkaitan hibah, faraid, wakaf, guaman syarie, sekolah agama dan tahfiz, makanan halal dan pelbagai perkara lagi yang boleh menonjolkan Islam sebagai satu agama yang membawa rahmat kepada orang ramai termasuk kepada orang bukan Islam.

Perkara lain yang menjadi keutamaan adalah untuk membawa Islam yang moderat dan wasatiah dalam pentadbiran Islam.

Kini, berlaku kebangkitan Islam yang ekstremis dan melampau sehingga sanggup melabelkan orang Islam yang lain yang tidak masuk kumpulannya menjadi kafir.

Sentimen ekstremisme sebegini akan memporak-poranda masyarakat dan membawa kepada perpecahan.

Selain itu, ketajaman perbalahan antara kumpulan aswaja dan salafi juga perlu diuruskan oleh menteri agama. Perbalahan sebegini akan menyebabkan orang Islam berpecah belah kepada kumpulan-kumpulan tertentu.

Oleh itu, kita mendoakan semoga menteri agama yang baharu ini dapat membawa Islam di Malaysia ke arah paradigma yang baharu yang lebih cemerlang.

Baca juga: Kerjasama PH-BN mampu lama tadbir Malaysia, PN telan asap sajalah!

Baca juga: Video budak berpaut belakang lori kini tular di Indonesia