Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Idris Ahmad memaklumkan dirinya kini sedang dikuarantin kerana kontak rapat dengan seorang rakan yang positif Covid-19.
Beliau dan keluarga dikuarantin bermula hari ini sehingga 3 November 2021 dan menjangkakan akan bebas pada 4 November iaitu pada Khamis nanti.
Namun katanya setakat hari ini beliau tidak mengalami apa-apa gejala dan hanya kuarantin di rumah sahaja.
“Pagi ini pakai gelang kerana kontak rapat sahabat yang positif. Alhamdulillah setakat ini tidak ada apa-apa gejala. Kena kuarantin hingga 3/11/28. Insyaallah 4/11/21 Khamis baru bebas,” ujarnya di Facebooknya sambil menunjukkan gelang pink bersama jam yang pernah timbul kontroversi baru-baru ini.
Menurut Idris, beliau sepatutnya bertolak ke Sabah pagi ini untuk lawatan kerja selama dua hari antaranya penyerahan Kompleks Mahkamah Syariah Sabah di Kota Kinabalu dan kunjung hormat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Nor.
“InsyaAllah selepas ini saya akan ke sana. Maaf banyak-banyak kepada YAB Ketua Menteri Sabah dan Ketua Pengarah JKSM Dato Setia Dr Mohammad Naim.
“InsyaAllah arahan kerja dibuat daripada rumah sepanjang saya kuarantin di rumah Doakan saya dan keluarga sihat dan selamat,” ujarnya lagi.
Melalui status yang dikongsi kali terakhir sebelum disahkan kontak rapat Idris Ahmad berada dalam majlis Multaqa Dai Himpunan Pendakwa Media bertempat di ILIM Bangi pada 28 Oktober 2021.