Malaysia Dateline

Menteri agama diminta laksana penubuhan Majlis Peguam Syarie

Menteri Agama perlu segera melaksanakan penubuhan Majlis Peguam Syarie seperti yang telah diperuntukkan dalam Akta Guaman Syarie yang telahpun diluluskan ketika zaman kerajaan Pakatan Harapan.

Aktivis politik, Jamzuri Ardani dalam tulisannya berkata, majlis Guaman Syarie ini akan berfungsi bagi memperkasakan professionalisma para peguam syarie dan menjadi badan induk yang bebas dari kuasa eksekutif kerajaan bagi mengurus keperluan professionalisma amalan guaman syarie di negara ini.

“Jangan dok melilau-lilau tak tentu arah,”kata beliau yang dipercayai ditujukan kepada Idris Ahmad, Naib Presiden Pas yang kini adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama).

Menurut beliau, selepas 22 bulan sahaja menjadi menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berjaya luluskan di parlimen Akta Guaman Syarie yang tertangguh selama 20 tahun di bawah kerajaan BN sebelumnya.

Selepas 22 bulan jadi menteri, Dr Mujahid juga berjaya selamatkan kewangan Tabung Haji.

Dalam tempoh itu, beliau berjaya menyiapkan rangka awal untuk Akta Wakaf tetapi tidak sempat dibentang apabila kerajaan PH jatuh.

Selama 22 bulan jadi menteri juga, Dr Mujahid berusaha keras mahu mewujudkan lapisan rayuan Mahkamah Syariah agar pesalah dapat membuat rayuan ke peringkat mahkamah yang lebih tinggi sebelum menjalani hukuman.

“Cuba tanya menteri lebai … apa kejayaan mereka sejak tebuk atap?” tanya Jamzuri.

Selepas tertangguh selama 35 tahun, Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2019 diluluskan di Dewan Negara pada 31 Julai 2019 lalu.

Kelulusan itu sekali gus memperkasa dan meningkatkan profesionalisme peguam syarie selain membebaskannya daripada pengaruh mana-mana pihak.

Akta yang akan dikuatkuasakan pada April 2020 itu, mempunyai 93 seksyen dan tiga Jadual yang lebih memfokuskan kepada keistimewaan peguam syarie, penubuhan firma, amalan dan etika profesional serta disiplin Peguam Syarie manakala Jadual pula berkaitan Lembaga Kelayakan Profesion Peguam Syarie, Badan Peguam Syarie serta kawalan harta dan dokumen peguam syarie.

Menurut peguambela, peguamcara dan peguam syarie, Dr. Zulqarnain Lukman dalam temubual dengan sebuah media ketika akta itu diluluskan, fokus utama akta ini adalah untuk mengawal selia peguam-peguam syarie di Wilayah Persekutuan yang selama ini dikawal oleh Majlis Agama Islam melalui kaedah yang dibuat di bawah Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 yang lebih dikenali sebagai Akta 505.

Dengan adanya Akta Profesion Guaman Syarie, bermakna Peguam Syarie tidak dikawal selia dan berada di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam.

Ia sekali gus membolehkan peguam syarie mengawal diri mereka sendiri seperti peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Sivil.

Kalau di Mahkamah Sivil ada Maj­lis Peguam (bar council), jadi akta ini seperti mewujudkannya untuk peguam syarie.

Bagaimanapun, sehingga sekarang Majlis Peguam Syarie masih belum berjaya dibentuk untuk mengawal profesyen ini sebagaimana Majlis Peguam Malaysia mengawal para peguam sivil.