Malaysia Dateline

Menteri Agama ingkar PKPP tahnik kembar, bersalam dengan warga emas

Seorang peserta program Kuliah Dhuha Muslimat di sebuah surau di Bandar Baru Bangi tidak memakai pelitup muka dengan sempurna semasa Dr Zulkifli memberi kuliah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dikesan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau dilihat sempat mentahnik sepasang bayi kembar yang di Surau An-Nur, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi pada 27 September lalu.

“YB (Dr Zulkifli) juga telah sempat mentahnik sepasang bayi kembar yang dibawa oleh ibu bapa mereka dari Taman Melawati Kuala Lumpur.

“YB juga telah berbesar hati menghadiahkan RM50 setiap seorang kepada bayi kembar itu,” kata pengguna Facebook Zaitun Yassin di media sosial rasmi surau itu.

Untuk rekod, tahnik adalah perbuatan mengunyah tamar atau manisan seperti madu yang kemudian disapukan kepada lelangit bayi baharu lahir. Mentahnik bayi merupakan satu sunnah dan hukumnya hanya sunat.

Terdahulu Dr Zulkifli bersama kira-kira 50 wanita hadir di surau tersebut bagi program Kuliah Dhuha Muslimat.

Berdasarkan sejumlah gambar dikongsikan, rata-rata jemaah wanita termasuk warga emas terbabit dilihat menjaga SOP termasuk mematuhi jarak dan mengenakan pelitup muka.

Sementara itu, dalam satu hantaran di Facebook beliau pada 25 September lalu, Dr Zulkifli dilihat bersalaman dengan seorang warga emas di Kuala Terengganu dalam keadaan merapatkan mukanya ke tangan individu berusia lanjut itu.

Semalam, Dr Zulkifli mengesahkan beliau disahkan positif Covid-19 selepas mengunjungi Sabah pada 24 September lalu.

“Saya menyeru orang ramai yang menghadiri majlis yang melibatkan kehadiran saya dari 24 September hingga 4 Oktober agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera,” serunya.

Dalam hal berkaitan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hariannya mengenai Covid-19 kerap mengingatkan kepentingan mematuhi SOP sepanjang tempoh PKPP.

Antaranya, mengelak daripada bertutur dengan jarak yang dekat dan mengelak daripada bersalaman atau bersentuhan termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan cara kebiasaan bersalam.

Dr Zulkifli bersalaman dengan seorang warga emas di Kuala Terengganu, 25 September lalu.