Malaysia Dateline

Datuk Dr Dzulkifli Mohd Al Bakri

Menteri Agama keluar hospital, pulih sepenuhnya dari Covid-19

Menteri Agama Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang disahkan positif COVID-19 selepas pulang dari Sabah kini telah pulih dan dibenarkan keluar dari wad Hospital Tuanku Ja’afar Seremban petang ini.

Bagaimanapun katanya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan beliau untuk mengutamakan rehat di rumah sehingga selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Buat masa ini, saya disarankan untuk tidak bertemu sesiapa. Justeru, sebarang pertemuan adalah melalui sidang video sahaja.

“Saya akan terus memantau semua gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya dari rumah. Apa-apa makluman umum akan disampaikan melalui media sosial saya,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Katanya, fokus utama buat masa ini adalah penyaluran bantuan kepada kelompok sasar terutamanya di WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya dan Selangor kerana PKPB telah bermula dan bantuan-bantuan perlu disalurkan dengan sesegera mungkin.

“Semoga Allah SWT melimpahkan kebaikan, keberkatan dan keharmonian kepada Malaysiaku yang tercinta. Moga perpaduan kita rakyat Malaysia terus terpelihara.

“Sentiasa ingat pepatah lama, “Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.”

“Saya doakan semoga rakyat Malaysia yang menghidap COVID-19, segera sembuh dan dapat kembali meneruskan kehidupan bersama-sama keluarga tercinta,” katanya.

5 Oktober lalu, Zulkifli disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah pada 24 September lalu.

Namun sebelum itu beliau telah menghadiri lebih 20 program selepas pulang dari Sabah, termasuklah menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang menyebabkan hampir kesemua menteri serta Ketua Pengarah Kesihatan terpaksa melakukan kuarantin kendiri selepas itu.

Susulan itu, beliau meminta orang ramai yang menghadiri majlis membabitkan kehadirannya bermula dari 24 September sehingga 4 Oktober, agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 dengan segera.