Malaysia Dateline

Menteri Agama mahu kumpulan 30 Pemuda Pas susun kuliah Hadi

Zulkifli ketika menerima rombongan Pemuda Pas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri secara terbuka membenarkan penglibatan Pemuda Pas dalam kerajaan.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, beliau menyambut baik kerjasama dengan sayap parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang tersebut.

Katanya, kerjasama dengan Pemuda Pas itu bagi gerak kerja dakwah di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Saya alu-alukan kerjasama Pemuda Pas dalam program-program di bawah JPM (Hal Ehwal Agama) khususnya berkaitan usaha dakwah,” katanya di Facebook dan Twitter semalam.

Sehubungan itu, Dr Zulkifli berkata, beliau telah memaklumkan kepada Ketua Dewan Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin untuk menyenaraikan nama 30 anak muda daripada sayap parti tersebut.

Menurut Dr Zulkifli, mereka terbabit perlu mempunyai ilmu dan kemahiran yang baik untuk membantunya menyusun semula Tafsir Haraki Abdul Hadi berdasarkan kuliah-kuliah bagi manfaat umat Islam.

Terdahulu, Dr Zulkifli menerima kunjungan rombongan Pemuda Pas Pusat diketuai Khairil Nizam yang antara lain membincangkan “isu-isu semasa Islam yang dibangkitkan untuk pemerhatian lanjut.⁣”

“Dalam ruang masa yang singkat, saya berkongsi kisah-kisah para ulama’ sebagaimana yang disampaikan oleh Maulana Abu Al-Hassan Ali Al-Hasani Al-Nadwi dalam bukunya Fi Masirat Al-Hayah,” katanya.

Walau bagaimanapun, pendekatan Dr Zulkifli itu dilihat sebagai terang-terang menggunakan parti politik terus menyusup ke dalam kerajaan.

Hal ini memandangkan, jika Pemuda Pas diberi ruang, sepatutnya tiada masalah untuk beliau turut membenarkan Pemuda AMANAH, PKR atau DAP yang Muslim terlibat dalam gerak kerja dakwah di bawah JPM.

Khairil Nizam dalam pertemuan dengan Dr Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.