Malaysia Dateline

Menteri Agama, ‘orang kuat’ YADIM didakwa warganet langgar SOP cegah Covid-19

Hanya selepas tiga bulan keluar dari wad pulih jangkitan Covid-19, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri didakwa netizen melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Turut sama dilihat berkumpul dan gagal menjaga jarak satu meter ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasruddin Hassan merangkap Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

Walaupun mereka memakai pelitup muka tetapi rata-rata netizen menganggap majlis meraikan ulang tahun penubuhan YADIM ke-47 bukan hal penting untuk diraikan ketika wabak masih mengganas.

Terdahulu, Nasruddin berkongsikan tiga gambar meraikan ulang tahun penubuhan yayasan itu yang katanya ”secara ringkas dengan doa selamat” oleh Zulkifli.

“Semoga YADIM terus memacu gerakan dakwah dengan aktif dan berkesan,” kata Nasruddin yang juga bekas Ahli Parlimen Temerloh.

Zulkifli dan Nasruddin juga dilihat saling berdekatan untuk bersama-sama memotong salah satu pulut kuning sebagai simbolik kepada majlis hari jadi YADIM.

Susulan itu, warganet mengecam majlis tersebut walaupun diadakan dalam dalam skala kecil.

“Orang agama, Menteri Agama jangan tunjukkan kebodohan dan kejahilan. PKP ini mesyuarat pun dilarang, apalagi majlis begini walaupun kecil.

“PKP dulu buat mesyuarat projek terjemah hadis. Ini pula sambutan ulang tahun YADIM. Memburukkan agama… Dakwa segera dua orang jahil ini,” kata Yus Iman.

Pas sebelum ini dikritik kerana dilihat gagal memperjuangkan isu rakyat terutama hal berkaitan Melayu Islam apabila berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN). Sebaliknya, isu lain contohnya, berkaitan artis wanita cantik bertudung pula sibuk dibahaskan pemimpin Pas.

Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini mengumumkan dijangkiti Covid-19 dan membuat permohonan maaf pada 5 Oktober tahun lalu.

Kes positif Covid-19 Zulkifli juga dikatakan netizen menjadi punca kewujudan Kluster Bah Kasturi di Wilayah Persekutuan Putrajaya yang diumumkan KKM pada 12 Oktober 2020.

Maklumat KKM berkaitan jantina, umur, hospital yang merawat dan tarikh pulang dari Sabah dikesan warganet sepadan dengan Zulkifli termasuk alamat kediaman yang menjadi nama kluster itu.

Menurut KKM, kes indeks bagi kluster tersebut (iaitu kes ke-12553) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) pada 24 September 2020.

Individu itu telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan dengan saringan kontak rapat telah mengesan 17 lagi kes positif Covid-19.

Sehingga 12 Oktober lalu, 305 individu telah disaring dalam kluster tersebut dan pada 18 November pula, kluster itu menyaksikan seramai 671 orang disaring dengan jumlah 28 individu disahkan positif Covid-19.

Kluster Bah Kasturi itu kemudiannya diumumkan tamat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 19 November 2020.

Mentahnik bayi kembar

Zulkifli sebelum disahkan positif Covid-19 telah ke Tuaran, Sabah pada 24 September dan menghadiri beberapa acara awam di negeri itu ketika tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Bahkan, apabila pulang dari Sabah, dia dikesan ingkar SOP dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk mentahnik sepasang bayi kembar yang di Surau An-Nur, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi pada 27 September lalu.

Susulan jangkitan Covid-19 dialami Zulkifli, Perdana Menteri, tujuh menteri dan enam timbalan menteri serta Ketua Pengarah Kesihatan terpaksa menjalani kuarantin diri selepas menghadiri mesyuarat mengenai Covid-19.

LANJUT MENYUSUL