Malaysia Dateline

Menteri Agama pertahan hadis bayangan Allah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilihat mempertahankan hadis berkenaan sultan sebagai bayangan Allah di muka bumi.

Bekas pesakit Covid-19 itu berkata, pencerahan mengenai hadis yang mengundang kritikan orang ramai itu pernah dijelaskannya tiga tahun lalu.

Sehubungan itu, dia yang pernah dikompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu mengingatkan orang ramai agar tidak membuat persepsi.

“Saya telah jelaskan sejak 2018. Baca terlebih dahulu sebelum cipta persepsi.

“Bayangan Allah itu menurut al-Tanwir Syarah al-Jami’ al-Saghir seperti tempat berteduh dan perumpamaan teduhan apabila pemerintah itu memerintah dengan adil.

“Ia juga bermakud kemuliaan dan kekuasaan,” ciapnya di Twitter hari ini.

Pagi tadi, muat naik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkenaan hadis Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (6988) melarang penghinaan terhadap sultan mengundang kritikan awam.

“Daripada Abi Bakrah RA, bahawa aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sultan (Pemerintahan) merupakan bayangan Allah di bumi. Barangsiapa yang memuliakannya maka Allah memuliakannya dan barangsiapa yang menghinanya maka Allah akan menghinanya.”

Rata-rata berpendapat hadis itu sebagai hadis dhaif selain mengingatkan setiap makhluk Allah tidak boleh dihina bukan hanya sultan.

Ada juga menyindir JAKIM dengan berharap jabatan itu mencari dalil berkenaan pemimpin yang melanggar SOP mencegah penularan Covid-19 pula.

Zulkifli yang juga hadir dalam majlis nikah selebriti kontroversi, Neelofa itu juga menambah, sudah menjadi kelaziman JAKIM untuk membuat hantaran hadis-hadis.

“Alhamdulillah, saya suka apabila semakin ramai mula ingin mengenali hadis, termasuk memahami hadis daripada sudut ilmu dirayah dan ilmu riwayah, tidak ‘cherry-picking’,” katanya.