Malaysia Dateline

Menteri Agama PN dicabar bentang laporan kewangan TH di Parlimen

Bagi menjawab persoalan yang dikemukakan beberapa pimpinan parti kerajaan seperti Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Menteri Agama kerajaan Perikatan Nasional dicabar untuk membentangkan laporan kewangan tahunan Tabung Haji di Parlimen.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional Shazni Munir Mohd Ithnin berkata sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 5,6,7,8 dan 9 Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) (Akta 240) dan Seksyen 26 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), laporan kewangan Tabung Haji yang telah diaudit perlu dibentangkan.

Katanya, keperluan untuk melaksanakan tanggungjawab undang-undang ini amat penting bagi pengagihan hibah kepada pendeposit Tabung Haji.

“Ini selaras dengan peruntukan Seksyen 22 (3) Akta Tabung Haji akan keperluan untuk memastikan nilai aset melebihi nilai liabiliti tahun berkenaan dan ia boleh dipastikan melalui Laporan Tahunan yang telah diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara,’ katanya dalam satu kenyataan.

Laporan kewangan beraudit bagi tahun 2018 dan 2019 untuk Tabung Haji yang seharusnya dibentangkan oleh Dr Mujahid Yusof Rawa, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang lalu, tidak menjadi kenyataan ekoran berlaku pertukaran kerajaan pada Februari 2020.

Malahan perkara in telah ditegaskan oleh beliau dalam program Berani Semuka anjuran Sinar Harian beberapa hari yang lepas.

Merujuk kepada kenyataan Mujahid, sebarang proses pengauditan yang berkaitan telah diselesaikan.

Justeru, bagi Pemuda AMANAH, tiada sebarang sebab yang boleh menghalang kementerian ketika ini untuk membentangkan laporan tersebut, apatah lagi jika sanggup beralasan bohong dengan mengatakan laporan tersebut masih belum siap.