Malaysia Dateline

Menteri Agama sah positif Covid-19, minta orang ramai buat ujian segera

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al Bakri disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah pada 24 September lalu.

Menerusi kenyataannya hari ini, beliau meminta orang ramai yang menghadiri majlis membabitkan kehadirannya bermula dari 24 September sehingga 4 Oktober, agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 dengan segera.

Beliau ketika kini memaklumkan sedang menjalani rawatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Alhamdulillah, sehingga saat ini keadaan kesihatan saya adalah baik.

“Saya menyeru orang ramai yang menghadiri majlis yang melibatkan kehadiran saya dari 24 September hingga 4 Oktober agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.

“Saya berdoa semoga Allah SWT sembuhkan dan selamatkan rakyat Malaysia daripada COVID-19. Insya-Allah,” katanya.

Pagi tadi sumber memberitahu Malaysia Dateline bahawa kesemua kakitangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kelantan sudah diarah menjalani ujian saringan Covid-19, selepas Menteri dilihat hadir ke program tersebut sejurus pulang dari Sabah.

Zulkifli dilaporkan berada di Sabah untuk menghadiri beberapa program dan pulang ke Kuala Lumpur pada 24 September lalu.

Pada 25 September pula, beliau menghadiri program hari terbuka Yadim di Kelantan dan tidak menjalani kuarantin wajib.

Dikatakan juga Senator itu tidak berapa sihat sejak Sabtu pada 3 Oktober, namun masih menghadiri beberapa anjuran program.