Menteri Agama selesaikan masalah 96 pelajar Maahad Qiraat Shoubra Al-Azhar

Menteri Agama selesaikan masalah 96 pelajar Maahad Qiraat Shoubra Al-Azhar

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika pertemuan bersama Sheikh Al Azhar pada Sabtu lalu.

Seramai 96 orang pelajar jurusan Qiraat di Maahad Qiraat Shoubra Al-Azhar, Mesir telah mula memasuki kelas masing-masing selepas menghadapi masalah pendaftaran selama hampir tiga bulan sejak mereka tiba di negara berkenaan pada 14 Julai lalu.

Menteri Agama di Jabatan Perdan Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa telah menyelesaikan masalah pelajar berkenaan selepas mengadakan pertemuan dengan Sheikh Universiti Al-Azhar Prof Dr Ahmed Muhammad El Tayyib pada Sabtu lalu.

Dalam kenyataan dikeluarkan pejabat menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini, memaklumkan kesemua 96 orang pelajar jurusan Qiraat berkenaan mempunyai masalah untuk mendaftar di Maahad Shoubra ekoran pekeliling baru yang dikeluarkan oleh pihak Universiti Al-Azhar.

“Pekeliling baru itu memerlukan para pelajar jurusan Qiraat dari luar negara yang ingin menyambung pengajian ke Maahad Shoubra menduduki peperiksaan ‘Qabul’ terlebih dahulu dan wajib lulus.

“Selain itu, syarat lain yang dikenakan ialah setiap pelajar yang mahu menyambung pengajian di maahad tersebut perlu melepasi Muwafawah ‘Amniyyah (tapisan keselamatan) daripada pihak Keamanan Negara Mesir.

“Ekoran syarat baru tersebut, terdapat beberapa masalah yang timbul melibatkan para pelajar Malaysia yang ingin menyambung pengajian mereka,” ujar kenyataan itu.

Antara pelajar Malaysia yang kini dapat menyambung pengajian mereka di Mesir.

Kata kenyataan lagim selepas pertemuan Datuk Dr Mujahid bersama Prof Dr Ahmed Muhammad El Tayyib itu, masalah berkenaan telah selesai malah pegawai Education Malaysia Egypt (EME) juga memaklumkan, pada Isnin kesemua pelajar berkenaan telah mula memasuki kelas mereka.

Pertemuan tersebut merupakan salah satu daripada agenda utama beliau sepanjang lawatan kerjanya selama lima hari ke Kaherah, Mesir.

Selain mengunjungi sheikh Universiti Al-Azhar, Dr Mujahid juga menghadiri Persidangan Fatwa Sedunia yang dihadiri oleh para mufti dari seluruh dunia.

“Beliau juga mendapat penghormatan mempengerusikan salah satu sesi pembentangan yang bertajuk ‘Parameter Fatwa Dalam Isu Negara dan Permasalahan Awam’ pada persidangan berkenaan.

“Antara agenda lain lawatan kerja beliau ke Mesir juga ialah membuat pertemuan dan berdialog bersama pelajar-pelajar Malaysia di republik berkenaan,” ujar kenyataan itu lagi.