Malaysia Dateline

Menteri Agama sumbang bantuan untuk LGBT

Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri hari ini mendekati Pertubuhan Hijrah Republique, komuniti LGBT yang sedang menjalani proses hijrah ke arah yang lebih baik.

Beliau menyampaikan sumbangan Musaadah Covid-19 kepada mereka hari ini, sebagaimana yang ditulis beliau melalui facebooknya.

Ia disambut baik oleh rakan-rakan facebook beliau padahal menurut mereka ia bakal dikecam hebat jika dibuat oleh bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sebelum ini.

“Andainya yang melakukannya ialah insan yang bernama Mujahid Yusof Rawa, pastinya pesta laknat akan melanda,” tulis Mohamad Hadi AH ketika berkongsi posting Dr Zulkifli itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu.

Seorang lagi rakan facebook beliau, Abdul Muiz menulis, “Alhamdulillah. Usaha baik yang pernah dibuat oleh Dr Mujahid dahulu diteruskan oleh menteri sekarang.

“Tahniah Datuk Dr Zul. Cuma malang sikit kepada Dr Mujahid, bila dia buat dia dituduh mesra dan pro LGBT. Harap Dr Mujahid maafkan mereka yang buat fitnah dahulu.”