Malaysia Dateline

Menteri Alam Sekitar dari Pas patut nasihat MB Terengganu

Pengerusi Biro Alam Sekitar dan Kelestarian AMANAH, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berpendapat Menteri Alam Sekitar yang juga dari parti Pas sepatutnya memberikan nasihat yang sesuai kepada Menteri Besar Terengganu.

Menurutnya, kelulusan membalak di kawasan bukit tepi pantai telah menjejaskan beberapa air terjun serta alur semula jadi sekali gus mengancam aktiviti pelancongan tempatan.

Kerajaan negeri diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu juga, dakwanya menyambung lesen kuari granit tepi pantai untuk tempoh puluhan tahun lamanya berbanding belasan tahun sebelum ini.

“Malangnya, kerajaan Terengganu yang ditadbir oleh Pas hari ini tidak mengambil serius saranan ini, malahan mengeluarkan lesen yang lebih panjang tempohnya!

“Situasi di kawasan pesisir pantai dan alam sekitar di Kijal tidak diurus dan dipelihara dengan baik untuk industri pelancongan berkembang. Malahan pengurusan kerajaan negeri hari ini banyak menjejaskan alam sekitar,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Raja Kamarul menyifatkan Ahmad Samsuri sepatutnya mengetahui implikasi pemberian lesen yang panjang tempohnya memandangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu mempunyai kelulusan latarbelakang teknikal kejuruteraan.

“Ramai orang tempatan Kemaman yang bertanya atas alasan apa lesen ini diberi tempoh begitu lama kerana masyarakat tempatan akan terus rugi dari aspek peluang perniagaan membuka chalet pelancongan.

“Mereka terpaksa menanggung gangguan debu, pencemaran dan gegaran kuari tersebut di kampung mereka serta pesisir pantai Kijal akan terus rosak pemandangan yang makin tercemar,” katanya.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang juga Pengerusi AMANAH negeri tersebut menggesa Ahmad Samsuri memberi maklum balas kepada penduduk di Kijal.

Dalam masa sama, ujarnya, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga perlu membuat penilaian daripada aspek pencemaran bunyi bising letupan kuari serta debu dan pencemaran lain kepada masyarakat tempatan.

“Dengan wujudnya Resort World Kijal bertaraf antarabangsa yang terkenal di tengah tengah komuniti masyarakat tempatan, rakyat tempatan telah lama menaruh harapan untuk mengambil kesempatan berniaga bidang pelancongan dengan chalet dan perniagaan mereka sendiri.

“Malangnya, tindakan kerajaan negeri di bawah Pas telah menghampakan harapan dan peluang mereka di kawasan yang amat tinggi potensi pelancongan untuk orang tempatan sendiri turut mengambil bahagian.

“Mereka hanya mampu menelan debu dari kuari yang terus mencemar pantai dan kampung Kijal yang indah,” tambah Raja Kamarul lagi.