Malaysia Dateline

Menteri, YB dan anak Datuk Seri boleh ingkar PKP?

Menteri Agama mengadakan pertemuan bersemuka ketika tempoh PKP tanpa mematuhi penjarakan sosial. Kepimpinan melalui teladan?

Jumlah tangkapan kumulatif kerana kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kelmarin mencecah 17,735 individu.

Sebanyak 835 sekatan jalan raya di seluruh negara pula telah diadakan oleh polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala sejumlah 6,122 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

Pengurusan Covid-19 yang diletakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyaksikan pihak berkuasa tiada kompromi terhadap mereka yang melanggar PKP.

Walaupun atas alasan beribadat di surau dan masjid, mereka juga tidak terkecuali ditangkap kerana dianggap tidak membantu usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan dengan berada di rumah.

Di Selangor contohnya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan 33 individu lelaki berumur 13 hingga 63 tahun setakat 11 April lalu kerana disyaki berkumpul untuk solat berjemaah di beberapa masjid dan surau di negeri itu.

Bagaimanapun, tindakan terhadap orang kenamaan daripada berstatus menteri hingga kepada anak bekas menteri dilihat berbeza pula.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengadakan pertemuan dengan sekumpulan ustaz membincangkan usaha penterjemahan sebuah kitab.

Kesemua mereka dalam gambar yang dikongsikan sendiri bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu pada 14 April itu tidak memakai penutup mulut dan hidung apa lagi mematuhi arahan penjarakan fizikal.

Walhal, rangka penerbitan Kutub al-Sittah itu dilihat tidak termaktub dalam mana-mana 10 sektor dibenarkan sebagai perkhidmatan penting negara mengikut Jadual Perkhidmatan Perlu (Peraturan 2) P U(A) 2020.

Bahkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin pun hari ini mengadakan sesi Pra-Kabinet kali kedua bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sidang video di Istana Negara bukan pertemuan secara bersemuka.

Bagaimana rakyat dapat dibudayakan dengan penjarakan sosial jika menteri lebih-lebih lagi Menteri Agama sendiri gagal dalam menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat?

Dua wakil rakyat; Razman Zakaria juga Exco Kerajaan Negeri Perak dan Datuk Dr Norazmi Ghazali merangkap Timbalan Menteri Kesihatan juga sudah terang lagi bersuluh ingkar PKP.

Selepas gambar mereka menikmati juadah kampung bersama rombongan tular, kedua-dua pemimpin Pas dan PPBM itu dipanggil ke balai polis untuk memberi keterangan.

Mereka yang melanggar PKP dengan makan secara beramai-ramai dan sembahyang berjemaah tanpa mengamalkan penjarakan sosial kemudiannya meminta maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ketika rakyat biasa yang ingkar PKP ramai telah didakwa di mahkamah dan mengaku salah selain masih disiasat dan ada yang diberi notis amaran, anak perempuan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula dilihat bebas ke sana ke sini sepanjang tempoh PKP.

Datuk Nurul Hidayah dengan berpakaian ala jubah konvokesyen dilihat selamba menemui Menteri Agama hanya untuk “menyampaikan kegusaran dan kerisauan” dia dan suaminya.

Padahal, ramai lelaki Muslim jauh lebih gusar dan risau apabila solat Jumaat pun sudah dibatalkan sejak 20 Mac lalu.

Sudahlah begitu, secara terbuka di media sosial Nurul Hidayah memberitahu berjumpa pula dengan Timbalan Menteri Alam Sekitar, Datuk Dr Masrizal.

Menganggap pihak yang mengkritiknya sebagai “orang kurang cerdik” dan menulis, “Kang cakap b*d*h kecik hati”, Nurul Hidayah juga memberitahu di Instagram pernah menerima tetamu untuk tujuan perbincangan kerja semasa PKP masih berkuatkuasa.

Dia turut berkongsikan juadah masak lemak cili api dan karipap pusing untuk tetamu yang bertandang itu selain bercerita tentang asam garam berpoligami.

Adilkah seorang anak orang kenamaan dibiar ke sana ke sini malah menerima tetamu sekali gus ingkar PKP ketika peniaga nasi lemak di Sungai Pinang, Balik Pulau di Pulau Pinang pada 5 April lalu boleh pula ditahan polis dan tentera?

Akhirnya, ketika kita diberitahu ribuan orang ditangkap ingkar PKP termasuk yang solat Isyak berjemaah di surau, rakyat tertanya-tanya, berapa orang pula menteri juga anak ‘Yang Berhormat’ yang ditangkap atau didenda ingkar PKP?

Anak pemimpin kerajaan PN boleh ingkar PKP?