Menteri Besar Johor ke-16 dari Bersatu

Menteri Besar Johor ke-16 dari Bersatu

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas, Datuk Osman Sapian mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-16 di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini.

Setiausaha Pakatan Harapan (PH) negeri berkenaan menerima watikah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Osman, 67, menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dari Barisan Nasional (BN) sebagai Menteri Besar selepas PH menang besar di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Beliau menang majoriti 9,178 undi menewaskan calon BN, Datuk Ramli Bohani dan Dzulkifli Suleiman dari Pas.

PH mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas menang 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor manakala BN memperoleh 19 kerusi dan Pas hanya satu kerusi.

Osman yang juga Setiausaha Bersatu negeri pernah menyandang jawatan sebagai Adun Kempas selama tiga penggal ketika bersama BN sebelum digugurkan daripada bertanding pada 2013.

Semalam, Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menghadap Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi bagi memohon perkenan baginda untuk menubuhkan kerajaan baharu Johor.

Selain Osman, Muhyiddin turut menyerahkan dua nama lagi untuk dicadangkan bagi jawatan Menteri Besar iaitu Adun Simpang Jeram, Salahuddin Ayub dan Adun Parit Yaani, Aminolhuda Hassan.

CATEGORIES