Malaysia Dateline

Ahmad Yakob kelantan

Menteri Besar Kelantan anggap kenyataan Pengerusi SPR menghina, cetus sentimen kenegerian

Kerajaan Kelantan menyifatkan kenyataan Pengerusi SPR, Azhar Harun melabelkan rakyat Kelantan sebagai ‘kaki kelab malam’ adalah penghinaan kepada rakyat di negeri Pantai Timur itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata berpandukan kenyataan Azhar yang tular di media sosial dan akhbar tempatan, jelas menggolongkan seolah-olah majoriti rakyat Kelantan yang berada di luar tidak tahu tentang dosa dan pahala.

“Rakyat Kelantan di luar sana ada di kalangan penjawat awam, pegawai tinggi kerajaan dan tokoh korporat yang banyak menyumbang untuk masyarakat dan negara.

“Ucapan berkenaan dianggap keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci serta prasangka negatif rakyat negeri lain terhadap rakyat Kelantan sehingga boleh mencetuskan sentimen kenegerian,” tegasnya dalam satu kenyataan penuh disiar di Harakahdaily.

Timbalan Mursyidul Am Pas itu berkata, Azhar sebagai seorang Pengerusi SPR wajar lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan dan harus lebih mengetahui tentang fakta sejarah Kelantan yang sinonim dengan panggilan negeri Serambi Makkah.

“Panggilan Serambi Makkah menggambarkan dekatnya mereka dengan kehidupan beragama. Beliau (Azhar ) juga perlu faham bahawa sesiapa sahaja berhak memilih pentadbiran Islam sebagai asas pemerintahan negeri. Hal itu adalah suatu perkara yang baik dan tidak sepatutnya dijadikan isu,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad mengingatkan adalah tidak benar mengaitkan dengan seluruh rakyat Kelantan jika ada beberapa orang yang berbuat maksiat.

“Sekiranya ada beberapa orang yang berbuat maksiat, adalah salah mengaitkan dengan seluruh rakyat Kelantan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Azhar, 57, yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang pilihan raya berkata, cadangan pendaftaran pengundi secara automatik pada pengundian akan datang sukar dilaksanakan kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan pengundi di tempat mula-mula dia mendaftar walaupun mungkin tinggal di tempat lain.

Disebabkan hal itu, jelas Azhar, seramai 60,000 orang Kelantan balik ke negeri tersebut untuk mengundi menyokong hudud sedangkan pada masa-masa lain mereka berada di Kuala Lumpur dan pergi ke kelab malam.