Malaysia Dateline

Menteri Besar pangku portfolio Haniza Talha

Portfolio Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor yang kosong ketika ini akan dipangku Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Kerusi tersebut dikosongkan selepas Ahli Dewan Negeri (ADN) dari PKR, Haniza Mohamed Talha yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar, keluar dari Pakatan Harapan (PH).

Amirudin berkata, sebarang program berkaitan portfolio berkenaan turut ditangguhkan buat sementara waktu sehingga dimaklumkan kelak.

“MMKN telah bermesyuarat pada Rabu, 8 Julai berkenaan status Haniza Mohamed Talha bersesuaian dengan keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan pelucutan keanggotaan beliau.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah memberi perkenan berkenaan hal ini dalam majlis sembah maklum yang diadakan pada semalam, 9 Julai.

“Sehubungan dengan itu, portfolio berkenaan akan dipangku oleh Menteri Besar dan sebarang program berkaitan portfolio berkenaan turut ditangguhkan buat sementara waktu sehingga dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan.

Haniza antara lima ahli PKR yang dilucutkan keanggotaan seperti diputuskan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 28 Jun lalu.

Selangor pada masa ini mempunyai dua kekosongan kerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dikatakan bakal diisi selewat-lewatnya sebelum akhir bulan ini.