Malaysia Dateline

Menteri Besar Selangor, Kedah hadiri Konvensyen Nasional AMANAH

Konvensyen Nasional AMANAH 2019 di Shah Alam, Selangor hari ini dihadiri pemimpin-pemimpin dari parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang juga Pengerusi PKR negeri hadir lengkap berbaju Melayu berwarna biru muda selaku tuan rumah.

Konvensyen yang pertama kali diadakan pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Nasional ini juga dihadiri Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir merangkap Menteri Besar Kedah.

Turut hadir Pengerusi DAP, Tan Kok Wai. Selain itu, wakil parti politik luar negara dan wakil kedutaan asing dan NGO juga hadir di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam hari ini.

Lokasi konvensyen ini juga merupakan tempat lahirnya AMANAH pada 16 September 2015.

Konvensyen Nasional AMANAH kali ini menyaksikan pemilihan kali pertama parti menggunakan sistem pemilihan e-undi.

Seramai 925 perwakilan serta beberapa kepemimpinan lain termasuk 14 Pengerusi negeri bakal memilih 27 AJK Pimpinan Nasional bagi sesi 2019-2022.