Malaysia Dateline

Menteri cuba faham, belajar dari Ustaz Ebit Lew

Dilihat bijak mengambil peluang atas populariti Ustaz Ebit Lew, seorang menteri memuat naik gambar pertemuannya dengan pendakwah terkenal dengan membantu orang susah itu.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata cuba memahami usaha murni Ustaz Ebit yang pernah memberikan sebuah kereta Myvi kepada seorang ibu tunggal itu.

Ustaz Ebit turut pernah melantik seorang kontraktor untuk membina sebuah rumah baharu bagi mangsa kebakaran serta membeli 500 unit tablet kepada pelajar susah bagi sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Wakil rakyat senior Umno yang dikenali pernah tular dengan barangan mewah itu turut berkata akan saling membantu kerja-kerja sosial dilakukan Ustaz Ebit.

“Syukur Alhamdulillah saya berkesempatan untuk berbual dengan Ustaz Ebit Lew.

“Saya cuba untuk memahami usaha murni beliau secara dekat serta mempelajari apa yang beliau lakukan. Ada juga perkara yang kami boleh saling membantu Insya-Allah,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu semalam.

Hanya dalam tempoh 17 jam, hantaran itu dilihat meraih tanda ‘suka’ paling banyak berbanding catatannya yang lain.

Sebanyak 9,500 ‘suka’ dengan catatan itu selain 190 perkongsian dan kira-kira 300 komen yang rata-ratanya memuji untuk tempoh tersebut.

Annuar dan Ustaz Ebit Lew di pejabat pemimpin Umno itu.