Malaysia Dateline

Menteri curi-curi hisap vape dalam sidang Dewan Rakyat

Hishammuddin dilihat cepat-cepat menyorokkan kembali vape yang dihisapnya.

Selepas jamuan besar menteri menggunakan dana syarikat berkaitan kerajaan (GLC), aksi Datuk Seri Hishammuddin Hussein menghisap rokok elektronik (e-rokok) atau lebih dikenali vape pula menyambung kemarahan rakyat.

Ahli Parlimen Sembrong dilihat curi-curi menghisap vape di sebalik pelitup muka yang dipakainya ketika Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sedang berbahas.

Walau bagaimanapun, aksi Menteri Luar Negeri berkenaan sempat dirakam sebelum tular di media sosial.

Rakaman video singkat berdurasi hanya 10 saat tersebut turut menyaksikan Hishammuddin terpejam matanya menikmati sedutan peranti itu yang menjadi trend golongan remaja sekarang.

Untuk rekod, pakar perubatan berpendapat vape mempunyai bahan kimia berbahaya selain menimbulkan ketagihan ketika tabiat merokok antara penyebab kematian utama dalam kalangan rakyat negara ini.

Perangkaan menunjukkan sekurang-kurangnya 10,000 perokok meninggal dunia dalam setahun akibat menghidap kanser, kerosakan paru-paru dan lain-lain.

Di Amerika Syarikat (AS), sebanyak 47 kes kematian direkodkan tahun lalu akibat kerosakan paru-paru kesan penggunaan vape (Evali) apabila bercampur cecair e-jus dengan minyak ganja dan Vitamin E acetate.

Bimbang

Sehubungan itu tindakan Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden Umno berkenaan mengundang kecaman orang ramai.

Antaranya, Dr Razam Ramli yang mempersoal tahap disiplin Ahli Parlimen.

“Apakah semua peraturan dan undang-undang yang ada memang dibuat untuk dilanggar?

“Disiplin sebagai Ahli Parlimen bukan sahaja dari sudut hadir tak hadir, hujah dan soal, tapi juga teladan yang ditunjukkan.

“Menghisap vape dalam parlimen ketika bersidang, di atas kerusi sebagai Menteri, adalah sesuatu yang tak boleh diterima,” tegasnya.

Dr Razam turut berpendapat Hishammuddin boleh sahaja keluar dewan untuk menghisap vape.

“Kita bimbang perkara ini diketahui anak-anak sekolah. Pastinya, jawapan yang kalau tak keluar di mulut pelajar itu kalau ditangkap menghisap vape, dalam hatinya berkata, ‘Ahli Parlimen, Menteri lagi, relaks je hisap vape dalam Parlimen, cikgu nak kecoh-kecoh tangkap saya kenapa?” tambahnya lagi.