Malaysia Dateline

Menteri dakwa CAC di Selangor dibanjiri pesakit Covid-19 bukan gambaran sebenar

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kesesakan di dua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Selangor yang tular baru-baru ini tidak menggambarkan situasi sebenar dialami di lokasi berkenaan setiap hari.

Menurutnya, pengurusan CAC di negeri itu sentiasa dikendalikan dengan baik dan teratur berdasarkan protokol kesihatan awam.

Jelasnya, pengendalian individu yang hadir bagi menjalani pemeriksaan dan penilaian risiko turut menepati prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Situasi itu berlaku pada waktu tertentu, terutama apabila pusat terbabit menerima kehadiran pesakit yang dihantar pihak pengurusan beberapa sektor secara serentak.

“Kita mampu mengambil semua mereka ini dengan urusan yang teratur dan memastikan bahawa ia berjalan secara tersusun selain mengikut protokol kesihatan awam.

“Jadi kalau mereka datang beramai-ramai, itu disebabkan ada beberapa sektor pembuatan menghantar pekerja mereka dengan bas, secara serentak,” lapor BH hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video yang mendakwa 4,000 individu beratur dan bersesak sementara menunggu untuk dinilai di CAC Stadium Malawati, Shah Alam.

Buletin Utama TV3 semalam juga melaporkan berlaku kesesakan luar biasa di CAC yang terletak dalam daerah Petaling itu dengan berlakunya kes pesakit Covid-19 pengsan sehingga terpaksa dikejarkan petugas lengkap berpakaian pelindung diri (PPE).

Tiada sebarang masalah

Mengulas lanjut, Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara dari Umno itu berkata, hasil tinjauan dilakukannya mendapati keadaan di CAC terbabit berada dalam keadaan teratur dan tiada kesesakan berlaku.

“Pada hari biasa, memang tiada sebarang masalah dan tak berlaku kesesakan seperti ditularkan,” katanya.

Tambahnya, hal sama turut berlaku di CAC Taman Sri Andalas kerana kehadiran ramai individu yang berisiko dan mahu membuat penilaian.

Dalam hal berkaitan, Kementerian Kesihatan melalui Twitter rasminya sebentar tadi memaklumkan senarai penuh CAC seluruh Selangor.

“Mereka yang telah disahkan positif perlu hadir di CAC mengikut daerah tempat tinggal masing-masing.

“CAC Stadium Malawati hanya untuk mereka yang tinggal di daerah Petaling,” dipetik dari Twitter KKM itu lagi.