Malaysia Dateline

Menteri dakwa struktur J-KOM tidak sama JASA

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah di Dewan Negara hari ini menegaskan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) tidak sama dengan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Katanya, J-KOM perlu dilihat secara menyeluruh dengan pandangan yang baharu, realistik, rasional dan matang.

Pada 25 November lalu, beliau di Dewan Rakyat menyebut kerajaan bersetuju untuk menjenamakan semula JASA kepada J-KOM.

Katanya ketika itu, fungsi J-KOM tidak bersifat bertindan dengan agensi lain di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Sehubungan itu, Saifuddin hari ini berkata, semua pihak perlu membangunkan pemikiran baharu berkaitan komunikasi dua hala di antara kerajaan dan rakyat.

Jelas bekas wakil rakyat PKR yang kemudiannya menyertai Bersatu itu, langkah tersebut melibatkan peringkat akar umbi, bersesuaian dengan kepentingan, cabaran dan keperluan baharu.

“Saya berharap kita boleh ‘reset’ pemikiran kita tentang J-KOM ini. Saya tidak berhasrat mengatakan kita boleh selesaikan semua perbezaan pendapat mengenai jabatan ini, (tetapi) hakikatnya ini ialah J-KOM, bukan JASA,” katanya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara hari ini.