Malaysia Dateline

Menteri di JPM nafi letak jawatan

Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menafikan beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) dan mengatakan spekulasi itu telah ditimbulkan pihak tertentu yang berkepentingan mahu menggugat kestabilan politik negara.

Beliau menegaskan tidak meletakkan jawatan bahkan akan terus bekerjasama dengan barisan kabinet yang dipimpin oleh Perdana Menteri untuk memantapkan petadbiran negara terutama dalam keadaan mencabar akibat Covid-19.

“Saya menegaskan dan memberi keyakinan kepada ahli Bersatu, tidak akan lari dari landas dan perjuangan asal mengikut perlembagaan dan dasar-dasar peraturan yang saya sama-sama membnatu mengasaskannya.

“Justeru akar umbi yang lama, awal dan baharu marilah bersatu di bawah satu saf dan perjuangan yang mana parti bukan hak saya, individu, pemimpin tetapi ia adalah hak ahli-ahli Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas yang diadakan di kediamannya ekoran banyak spekulasi dan cercaan kepada pimpinan parti termasuk perkara yang tular mengenai peletakkannya jawatannya.

Beliau turut menasihati semua ahli politik agar sama-sama menghayati titah Baginda YDPA yang menggesa tidak mengheret negara ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat sedang berdepan dengan Covid-19.