Malaysia Dateline

Menteri digesa bentang pendirian Malaysia berhubung AUKUS

Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan menggesa Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, dan Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Saifuddin Abdullah untuk membentangkan kenyataan menteri di Parlimen berkenaan pendirian Malaysia terhadap pengumuman pakatan strategik ketenteraan baharu Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Australia (AUKUS) .

Dalam kenyataan bersama Mohamad Sabu, Johari Abdul dan Liew Chin Tong berkata, pakatan kerjasama baharu AUKUS yang turut meliputi perolehan kapal selam berkuasa nuklear bernilai AUD 90 bilion merupakan perkembangan besar di rantau ini.

Menurut kenyataan itu, langkah Australia, US dan UK ini besar kemungkinan akan meningkatkan suhu ketegangan di rantau Asia.

“Disebabkan kedudukan geografinya yang terletak di tengah-tengah persaingan geopolitik dunia yang semakin sengit, Malaysia perlu meneliti dan menyatakan pendiriannya dengan jelas,” katanya.

Selari dengan kepentingan negara, jelas Pakatan Harapan Malaysia perlu menjelaskan bahawa bersedia bekerjasama dengan semua pihak.

“Namun, sebelum itu, Amerika Syarikat dan China perlu meredakan ketegangan khususnya di Laut China Selatan dan rantau Asia secara amnya.

“Ketegangan yang memuncak tidak akan membawa manfaat kepada kepentingan mana-mana negara di rantau ini,” katanya lagi.