Malaysia Dateline

Menteri digesa buat sidang media bersama, jangan ada lagi pusingan U

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama menteri Kabinet utamanya digesa untuk mengadakan sidang media bersama sekiranya kerajaan berhasrat melaksanakan penutupan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming berkata, kerajaan perlu berhadapan dengan soalan-soalan berbangkit dari media dan orang ramai berhubung kemungkinan kerajaan bakal menguatkuasakan PKP penuh ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19.

“Pada sidang media ini, para Menteri perlu hadir bersama-sama dengan Perdana Menteri untuk menjawab soalan terperinci berkenaan dengan penutupan penuh ini.

“Kita perlu elakkan situasi sebelum ini di mana sidang akhbar menteri dibuat berseorangan yang kemudiannya berlaku pusingan-U. Ini kerana seorang menteri tidak berkomunikasi dengan menteri yang lain.

“Para menteri utama dalam Kabinet perlu meyakinkan rakyat bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mampu mengeluarkan rakyat dari wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ong berkata, menteri-menteri Kabinet utama itu nanti perlu menjawab soalan tentang rancangan kerajaan berhubung pelaksanaan ujian saringan besar-besaran semasa tempoh penutupan penuh.

Beliau juga menekankan agar kerajaan menyatakan bentuk bantuan kewangan kepada mereka yang akan terkesan akibat penutupan itu seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor runcit dan juga sektor pelancongan.

Menurutnya, sidang media bersama itu perlu melibatkan Menteri Kesihatan Datuk Dr Adham Baba, Menteri Kewangan Datuk Tengku Zafrul Abdul Aziz, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, serta Menteri Penyelarasan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Untuk rekod, negara mencatatkan angka kes Covid-19 tertinggi semalam sebanyak 6,075 kes.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan PKP secara sepenuhnya mungkin perlu dilakukan di Selangor dan adanya keperluan untuk mencadangkan kawalan pergerakan yang lebih ketat memandangkan PKP yang dikuatkuasakan ketika ini dilihat tidak berupaya mengekang penularan wabak Covid-19.