Menteri digesa dedahkan nilai ‘Alpha’ bersekali dengan pengumuman harga petrol, diesel

Menteri digesa dedahkan nilai ‘Alpha’ bersekali dengan pengumuman harga petrol, diesel

Kerajaan digesa lebih telus dan jujur untuk mendedahkan tentang nilai ‘alpha’ dalam formula Mekanisme Penetapan Harga Minyak (APM) serta kaedah sebenar pengiraan bahan api.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Shazni Munir Mohd Ithin berkata, menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak harus bersikap mendiamkan diri terhadap penetapan harga mingguan petrol dan diesel yang tidak ketentuan harganya.

” Penting untuk pihak kerajaan berlaku telus dan jujur dengan rakyat. Sikap  Datuk Seri Hamzah Zainudin yang terus membisu dan amat berahsia tentang nilai ‘alpha’ dalam formula APM serta kaedah sebenar pengiraan bahan api ini sama sekali tidak boleh diterima.

“Bahkan lebih jauh, sikap ini telah ditanggap ramai pihak sebagai perancangan tersusun untuk kerajaan merahsiakan keuntungan sebenar yang dikaut saban minggu.

“Sebelum kita menuntut sesuatu yang mustahil untuk dipenuhi seperti membekukan kelebihan kad inden untuk semua menteri kabinet, elok Menteri KPDNKK mendedahkan dahulu nilai ‘alpha’ rasmi yang digunapakai sewaktu pengumuman harga mingguan petrol dan diesel.

“Jika gagal, pihak menteri telah mengiyakan telahan awam bahawa kerajaan memang sengaja berselindung untuk menipu setiap sen daripada poket rakyat,” ujarnya.

Sebelum ini penentuan harga runcit petrol dan diesel kekal dibuat secara mingguan dengan kerajaan tidak bercadang mengembalikan penentuan harga bahan api itu secara bulanan.

Datuk Seri Hamzah Zainuddin

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Ogos lalu dipetik berkata, penentuan harga secara mingguan merupakan mekanisme terbaik kerana harga minyak benar-benar ditentukan mengikut harga pasaran dunia.

Bagaimanapun menurut Shazni penetapan harga mingguan untuk petrol dan diesel telah pun sedia mengundang perdebatan dan kegelisahan awam.

“Ini kerana Ketidaktentuan harga bahan api, apatah lagi jika konsisten meningkat saban minggu, telah menyebabkan harga barangan keperluan harian turut mencanak naik dan semestinya sukar untuk turun sekalipun harga bahan api turun untuk beberapa tempoh.

“Lebih memeritkan bagi warga muda yang terpaksa bergantung sepenuhnya pada kenderaan peribadi untuk ke tempat kerja rentetan lokasi yang jauh dan kecekapan sistem pengangkutan awam yang masih di tahap sederhana.

“Terpaksa memperuntukkan sebahagian besar daripada gaji bulanan untuk dihalakan ke stesen-stesen minyak kini bukan lagi satu pilihan, bahkan keperitan yang perlu ditelan dengan pahit,” ujarnya.

Sebagai rekod faktor yang mempengaruhi penentuan harga minyak ialah melalui APM, kadar pertukaran mata wang ringgit kepada dolar Amerika Syarikat dan kesan pembatalan subsidi petrol dan diesel oleh kerajaan.

APM berperanan sebagai mekanisme yang menstabilkan harga petrol dan diesel di dalam negara sehingga ke tahap tertentu. Harga runcit hanya perlu ditukar sekiranya berlaku perbezaan harga semasa.

APM mengambil kira Kos Produk, Alpha, Kos Pengendalian, Margin Minyak dan Margin Pengedar.

Kos Produk dikira berdasaran kepada MOPS (Mean of Platts Singapore) untuk petrol Ron97, Ron95 dan diesel. Kos produk ini adalah dalam dolar AS setong serta terikat kepada pergerakan minyak mentah yang kemudian ditukarkan kepada nilai ringgi untuk satu liter.

8.0
OVERALL SCORE
: 6.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS