Menteri elak jawab soalan, Anwar tegur maruah Parlimen tidak boleh dipijak

Oleh KIM SYAZIE

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz sengaja tidak mahu menjawab beberapa persoalan yang diajukannya kepada kementerian tersebut.

Anwar berkata, Zafrul sengaja mengelak dan tidak mahu menjawab soalan termasuk hal berkaitan judi.

Beliau menegaskan bahawa maruah Parlimen tidak boleh dipijak dengan kelakukan sedemikian kerana ia merupakam ruang untuk menjawab dan menegakkan kebertanggungjawaban.

Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebooknya.

“Menteri kewangan tkdak menjawab banyak soalan yang dibangkitkan. Saya mohon diberi penjelasan unjuran jumlah hasil kerajaan lebih tinggi ketimbang 2019, tetapi tidak diberi penjelasan oleh menteri kewangan.

“Pertambahan lesen judi juga tidak diberi penjelasan. Saya tanya bila diluluskan, berapa jumlah diluluskan, apakah jemaah menteri dimaklumkan dan apakah parti-parti Melayu Umno, Pas, Bersatu beri perakuan dan persetujuan kepada perjudian tambahan itu,” katanya ketika sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut menyebut soalan-soalan lain yang tidak dijawab oleh Zafrul antaranya isu berkaitan dengan ketirisan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang sebelum ini dipengerusi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, berdasarkan laporan ketua audit negara, MKN telah melanggar beberapa peraturan kewangan melibatkan kedudukan perdana menteri sebagai pengerusi ketika itu.

Untuk rekod, ketidakpatuhan kementerian dan jabatan Persekutuan terhadap pengurusan kewangan, menyebabkan berlaku isu pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran kepada kerajaan berjumlah RM620.07 juta pada 2020.

Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, daripada RM510.49 juta pembayaran tidak teratur, RM499.19 juta membabitkan bayaran tuntutan perkhidmatan penyenggaraan tanpa pengesahan di Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada masa sama, Anwar juga mempersoal apa alasan kerajaan memberi wang jaminan berjumlah RM500 juta kepada Air Asia dan mengenepikan MAS.

Begitu juga tentang  dakwaan pengambilalihan projek lapangan terbang Subang yang masih belum dijelaskan.