Malaysia Dateline

Menteri enggan buat pertemuan khusus, MP PH KL tidak mahu hadir mesyuarat esok

Sembilan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat keputusan untuk tidak hadir mesyuarat Jawatankuasa Konsultasi Wilayah Persekutuan (JaKoWIP) esok.

Keputusan itu dibuat selepas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa enggan mengadakan mesyuarat khusus untuk bertemu semua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak dilantik pada Mac 2020.

Tegas mereka, pihak menteri juga belum menjawab atau melakukan pindaan terhadap perkara-perkara asas yang dibangkitkan dalam surat bertarikh 7 Disember 2020 berhubung cadangan penubuhan JaKoWIP.

Antara hal yang dibangkitkan ialah penyertaan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) sebagai ahli mesyuarat memandangkan mereka adalah lantikan politik yang tiada mandat rakyat Kuala Lumpur.

“Terdapat beberapa perkara dasar yang tidak dapat kami terima termasuk isu terma rujukan, ahli mesyuarat serta aturan mesyuarat.

“Kami telah memohon agar perkara-perkara yang dibangkitkan ini dipinda, dan satu pertemuan khusus di antara Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli-Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diadakan segera.

“Malangnya, Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan dalam surat bertarikh 24 Disember 2020 hanya menyatakan bahawa syor-syor kami sedang diperhalusi, dan tiada pertemuan khusus yang akan disegerakan seperti yang diminta,” kata kesemua Ahli Parlimen PH itu dalam kenyataan bersama hari ini.

Sehubungan itu, mereka mengingatkan Annuar bahawa warga Kuala Lumpur telah membuat pilihan yang sangat jelas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan memilih PH sebagai Ahli-Ahli Parlimen.

Justeru, tegas mereka, Annuar perlu menghormati mandat tersebut dan segera mengadakan mesyuarat khusus bersama Ahli-Ahli Parlimen PH untuk meneliti serta menyelesaikan perkara-perkara yang telah dibangkitkan itu.

Sembilan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terbabit ialah Tan Kok Wai (Cheras), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Hannah Yeoh (Segambut) dan Teresa Kok (Seputeh).

Turut bersama Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju), P Prabakaran (Batu), Lim Lip Eng (Kepong) dan Fong Kui Lun (Bukit Bintang).

Di Kuala Lumpur, hanya dua kerusi Parlimen dimiliki kerajaan dari Bersatu iaitu Titiwangsa diwakili Datuk Seri Rina Mohd Harun yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Satu lagi kerusi di Bandar Tun Razak yang disandang oleh Datuk Kamarudin Jaffar yng merupakan Timbalan Menteri Luar Negeri.