Malaysia Dateline

Menteri gagal bida nombor pendaftaran dengan harga RM1,509

Hasrat Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk mendapatkan nombor pendaftaran istimewa yang diidamkannya tidak tercapai.

Walaupun beliau merupakan pembida terawal untuk nombor pendaftaran MALAYSIA 509 namun usahanya itu gagal kerana beliau hanya mampu menawarkan harga bidaan sebanyak RM1,509.

Menurutnya, 12 pembida membida nombor yang dihajatinya itu dan harga tertinggi bidaan yang dicatatkan sebanyak RM20,000.

“Tahniah dan syabas pada orang yang bida dengan harga tertinggi ini. Terima kasih… semua hasil bidaan akan menyumbang kepada hasil kerajaan yang mana sebelum ini nombor siri istimewa telah diberikan kepada pihak lain dan hasilnya tidak dikutip pihak kerajaan dengan harga lebih tinggi.

“Kalau ada orang minat, sanggup bayar untuk satu nombor sahaja RM1juta kita akan tawarkan dari masa ke masa. Kalau ada orang kaya sanggup bagi hasil kepada kerajaan kita akan keluarkan nombor pendaftaran istimewa,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Anthony berkata, bagi nombor siri MALAYSIA 2020, nombor berkenaan merupakan satu-satunya nombor yang tidak di buka untuk bidaan memandangkan nombor berkenaan dikhaskan untuk kenderaan rasmi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, pihaknya berharap agar kenderaan rasmi dengan nombor pendaftaran istimewa itu akan digunakan untuk dibawa semasa sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos nanti.