Malaysia Dateline

Menteri hanya kecewa, harap ‘mak cik’ buang sampah mohon maaf

Menteri Alam Sekitar Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hanya menzahirkan rasa kecewa terhadap seorang wanita yang dilihat membuang bungkusan plastik di sebuah jambatan.

Ahli Parlimen Pas Kubang Kerian itu juga berharap individu bertudung berkenaan memohon maaf.

“Dia (pelaku buang sampah) seharusnya insaf dan diharap dapat memohon maaf atas sikap buruk yang ditunjukkan itu.

“Pelaku seharusnya insaf dan diharap dapat memohon maaf atas sikap buruk yang ditunjukkan itu.

“Terima kasih kepada yang membuat rakaman,” katanya di Twitter.

Tuan Ibrahim berkata, masih ada segelintir masyarakat yang tidak peduli kebersihan sumber air di negara ini ketika kementeriannya berusaha melancarkan kempen menjaga sungai.

Walau bagaimanapun, reaksi ‘lembut’ menteri itu mengundang kecaman orang ramai yang menganggap menteri berkenaan sepatutnya bersuara lebih tegas.

Ada juga yang menegaskan tindakan undang-undang berkaitan wajar dikenakan terhadap pembuang sampah di jambatan itu memandangkan butiran peribadi individu tersebut sudah tersebar di media sosial.

Semalam, tular rakam video berdurasi 20 saat memaparkan aksi seorang wanita dipercayai pertengahan usia membuang dua bungkusan plastik dari tingkap kereta Bezza nombor pendaftaran DDA 9590.

Lokasi dipercayai berlaku di atas jambatan Sungai Kelantan dari Machang menghala Tanah Merah, menurut kumpulan Facebook Info Rakyat Dalam Kelantan (IRDK).

“Harap pihak berkuasa ambil tindakan pada si tangan jahat ini,” kata IRDK.

Rata-rata warganet menyelar sikap pengotor dan tiada kesedaran sivik sehingga memburukkan lagi tahap pencemaran sungai.

Perbuatan membuang sampah ke dalam sungai juga antara punca berlakunya banjir serta menyumbang pada pencemaran plastik seterusnya mencemar laut, mengancam hidupan marin serta akhirnya mengancam kesihatan manusia.

Untuk rekod, Malaysia setakat tahun 2018 berada di tempat kelapan mengalami krisis pencemaran plastik di lautan.