Menteri jaga integriti memang ‘tidur’, kata Kit Siang

Menteri jaga integriti memang ‘tidur’, kata Kit Siang

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low Seng Kuan, bahawa beliau melaksanakan tugasnya dengan baik dan ‘tidak tidur’ ditempelak Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Ia berikutan Paul Low tidak berkata atau berbuat apa-apa selepas BN didedahkan melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya pada pilihan raya umum lalu.

Justeru Kit Siang mempersoalkan kenyataan Paul Low kononnya tidak culas dalam melaksanakan tugas sebagai Menteri Integriti sedangkan beliau sendiri tahu lebih RM1.5 bilion digunakan BN pada PRU lalu seperti didedahkan dua Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Dua Ahli MT yang mendedahkan permainan wang yang dilakukan BN itu ialah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta disahkan lagi dengan kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, lapor Roketkini.

“Jika Paul Low tidak ‘tidur’ dalam melaksanakan tugasnya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal integriti itu, dia sepatutnya menjadi orang yang paling risau dan marah di dalam negara ini bila mendapat tahu terdapat politik wang dan rasuah yang amat besar berlaku di negara ini.

“BN berbelanja besar dan melebihi paras had yang dibenarkan untuk perbelanjaan pilihan raya untuk semua 222 kerusi Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah veteran DAP itu lagi, sekiranya perkara sedemikian berlaku di sebuah negara lain, sudah pasti ia akan menggoncang keutuhan sebuah kerajaan, namun apa yang berlaku di Malaysia adalah sebaliknya.

“Tetapi di Malaysia terdapat sikap tidak peduli di mana menteri yang dikhaskan untuk menjaga integriti dan pentadbiran yang baik seolah-olah tidak ambil tahu,” katanya sambil menyifatkan kenyataan Paul Low itu sebagai melucukan.

Kit Siang turut mengulangi desakan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berundur daripada tampuk pemerintahan bagi menjernihkan semula imej negara dan memulihkan ekonomi Malaysia.

TAGS