Malaysia Dateline

Menteri KASA tersinggung dikatakan pentingkan soal umrah ketika banjir

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man seperti tersinggung apabila beberapa Ahli Parlimen Pembangkang mempersoalkan ketiadaan beliau ketika banjir besar melanda negara 18 Disember lalu.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu terus bangun apabila Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu mempersoalkan menteri berkenaan yang mementingkan soal umrah daripada nyawa rakyat ketika banjir.

“Patut pecat menteri macam ini,” kata Kota Raja ketika mencelah perbahasan Ahli Parlimen Port Dickson.

Ekoran itu, Menteri Kasa terus bangun dan memberitahu beliau akan menjelaskan persoalan yang dibangkitkan itu dalam masa yang sama turut membidas ada Ahli Parlimen ke luar negara bermain salji.

“Saya akan jawab, tapi mana lebih baik, ada yang pergi bermain ski,” celah Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Anwar dalam sesi perbahasannya tidak menafikan ramai menteri hilang termasuklah pergi umrah ketika banjir melanda di Lembah Klang.

“Ya PM ada tetapi menteri hilang selepes sidang parlimen, ada yang buat umrah ketika rakyat mati rumah hanyut.

“Kalau pergi balik segera, ini tidak orang hanyut mati kita duduk ‘labaikallah’. Saya tidak remehkan umrah tetapi keutamaan.

“Sepatutnya PM tak perlu arahkan menteri pulang, kalau menteri tahu tanggungjawab segera pulang,” katanya.

Justeru Anwar meminta kerajaan memperbetulkan perkara ini dan memberi penjelasan kepada rakyat supaya ianya tidak berulang.